Ombak Rindu

Ombak Rindu - salah satu filem Melayu yang telah mencetuskan fenomena tersendiri dalam sejarah perfileman Melayu selepas berakhirnya era kegemilangan Shaw Brothers. Filem dan runut bunyi Ombak Rindu mempunyai kegilaan tersendiri di kalangan peminatnya.

Aku catatkan lirik Ombak Rindu yang aku pasti amat difahami maksudnya yang tersendiri

OMBAK RINDU

Tuhan tolong lembutkan hati dia
Untuk terima ku seadanya
Kerna ku tak sanggup
Kerna ku tak mampu
Hidup tanpa dia di sisiku

Tuhan aku tahu banyak dosaku
Hanya ingat Kamu kala dukaku
Namun hanya Kamu yang mampu membuka
Pintu hatinya ‘tuk cintaku

Malam kau bawalah rinduku
Untuk dirinya yang jauh dariku
Agar dia tidak kesepian
Selalu rasa ada cinta agung

Hujan bawa air mataku
Yang mengalir membasuh lukaku
Agar dia tahu ku tersiksa
Tanpa cinta dia di hatiku

Hanya mampu berserah
Moga cahaya tiba nanti

Tuhan tolong lembutkan hati dia
Untuk terimaku seadanya
Kerna ku tak sanggup
Kerna ku tak mampu
Hidup tanpa dia di sisiku

Penghujung Jalan

 Apa yang akan ku temui di penghujung jalan ini?
Ku temui jalan yang lebih berliku?
Atau jalan yang lebih lurus?
Tiada apa yang ku temui
Kecuali satu
Ku temui kematian


Ramadhan Al Mubarak

 

















Khusus untuk pengunjung Lensa Kamera aku ucapkan "Selamat menyambut Ramadan Al Mubarak" - Jothmen


Mawar













Huhh.....lama betul aku tidak menulis di sini.  Kekangan tugas dan tanggungjawab yang lebih menuntut masa dan perhatian menyebabkan laman ini terbiar agak lama.

Bagi menghargai pengunjung yang singgah secara sengaja atau tidak sengaja tersasar ke laman ini, aku hadiahkan sekuntum mawar merah yang tidak seberapanya ini - Jothmen

Cantik Dan Berguna

Imej di sebelah adalah bunga kantan yang juga dikenali dengan nama saintifiknya sebagai phaeomorio speciosai. Tergolong dalam keluarga lengkuas dan halia, kantan dikategorikan sebagai tanaman herba dalam kalangan masyarakat Melayu.  Disebabkan fakta inilah bunga kantan amat sinonim dalam masakan masyarakat Melayu terutama sebagai bahan perasa dalam kuah laksa dan ulam nasi kerabu...pergh!!

Cantik dan berguna.  Itulah kesimpulan aku ketika merakam foto ini yang menjulang dicelah-celah serumpun pokok kantan di belakang rumah aku.  Cantik dan berguna kerana hampir setiap bahagian pokok kantan ini ada manfaatnya.  Aku pernah diberitahu bahawa batangnya boleh mengubati sakit bengkak-bengkak, buahnya boleh menambah selera makan (ulam), dan ubinya sebagai perisa dalam masakan.  Paling biasa aku menggunakan manfaat pokok kantan adalah pada bunganya.  Namun begitu baru-baru ini aku ternampak bahagian batang dan bunganya digunakan dalam gubahan bunga moden!!

Itulah dia begitu bergunanya pokok yang biasa ditanam dibahagian belakang rumah ini.    

Sebenarnya analogi pokok dan bunga kantan ini juga amat sesuai untuk diadaptasi dalam hidup kita.  Biarlah kita menjadi manusia yang berguna dalam setiap rangka kehidupan, sama ada sebagai individu, anak, ibu bapa, ketua, pekerja dan sebagainya.  - Jothmen

Wajah Asing

Oleh kerana foto adalah tema Lensa Kamera maka satu lagi foto aku paparkan disini.  Foto ini diambil ketika kunjungan aku ke Taman Seribu Bunga baru-baru ini.   Walaupun namanya begitu tapi rasanya bunga-bunga di situ tak adalah sebanyak nama taman itu.  

Penampilan kudup bunga warna unggu ini amat menarik perhatian tambahan lagi dengan pangkalnya yang berbulu dengan kontras warna hijau dan kemerahan.  Untuk mendapatkan imej yang satu ini,  aku menghabiskan masa lebih setengah jam di satu sudut  bagi mendapatkan komposisi yang  sesuai.  Keadaan hari yang berangin pula amat menyukarkan aku  yang menggunakan Tamron SP90 untuk mendapatkan fokus yang baik dengan menggunakan aperture priority.  Tetapi setelah bertukar kepada mode manual dan dengan shutter speed  yang lebih laju, akhirnya aku berjaya memperolehi imej yang jelas ini.  Foto ini diambil menggunakan shutter speed 1/500 sec pada f.8, ISO200.

Okey....biarkan pasal foto di atas itu sebegitu.

Sebenarnya pada hari pertama Tahun Baru Cina baru-baru ini, aku dan keluarga menuju ke selatan tanah air mengunjungi kenalan di sana disamping menjamu selera.  Pada kesempatan yang sama, dapatlah juga aku meninjau  banjir dan kesan selepas banjir di beberapa tempat  sepanjang perjalanan.  Diperhatikan banyak kawasan tali air dan anak sungai menjadi tumpuan masyarakat setempat mencari ikan.  Bagaikan berpesta!

Sepanjang ingatan aku, kami sekeluarga agak kerap mengunjungi bandar itu terutama pada hari minggu dan bagi aku pemandangan pada hari minggu dan cuti umum di bandar itu adalah setanding dengan  pemandangan di Bandaraya  Kuala Lumpur.  Setanding bukan kerana bangunan pencakar langit tetapi wajah-wajah asing yang memenuhi ruang dalam bandar. Tak salah kalau dikatakan Jalan Saleh dan Jalan Abdullah (kalau tak silap) dikuasai warga asing.  Terasa seperti berada di negara asing.

Melihatkan suasana seperti ini membuatkan aku tersenyum sendirian.  Manakan tidak....kumpulan ini bagaikan berkelah di bawah menara jam dan ada yang duduk-duduk atas rumput di kawasan lapang.....dan tentu sekali ditengah panas terik!  Waktu itu jam  besar di menara menunjukkan 1 tengahari.

Selain dari menara jam itu, terdapat juga kumpulan lain yang ramai di kawasan sebuah bank dan beberapa outlet  berdekatan yang lain hinggakan anak aku ketakutan  dan mengunci pintu kereta ketika aku keluar ke mesin ATM berhampiran.

Sesungguhnya  aku  amat terasa nikmat berada di bumi bertuah ini lebih-lebih lagi tatkala di beberapa penjuru dunia berlaku kacau bilau dan keadaan tidak aman hingga mendatangkan ketakutan, bukan sahaja kepada warga asing di situ tetapi juga kepada warganya sendiri.- Jothmen

Di sebalik....

Aku pasti anda tahu spesis yang terpampang dalam foto ini.  Ia merupakan salah satu spesis 'siput taman' (garden snail) yang amat biasa didapati dalam kebun atau taman di sekitar kita. Kebiasaannya siput ini merupakan ancaman dan musuh kepada tanaman kerana tabiatnya yang menjadikan pucuk dan daun sebagai makanan dan sekaligus mencacatkan kecantikan taman malah boleh memusnahkan keseluruhan taman jika pembiakannya tidak dikawal.

Namun begitu, di sebalik reputasi buruk tersebut, garden snail yang kecil ini sebenarnya mampu menjadi sabjek fotografi yang amat menarik. Seingat aku siput ini hanya sebesar duit siling 5 sen dan foto ini  dirakam ketika kunjungan aku ke satu kawasan tanah tinggi baru-baru ini.  

Begitu juga dengan spesis ular rona hijau di sebelah ini.  Tergolong dalam keluarga ular berbisa pit viper (ular kapak), 'rakan' baru aku ini kelihatan amat selesa sekali sewaktu  didekati setelah mendapat kebenaran pemiliknya bagi mendapatkan sudut fotografi terbaik.  Mungkin menyedari dirinya sebagai bintang, ia langsung tidak mempamirkan aksi tidak selesa atau terancam dan ini memudahkan aku menyelesaikan tugas.

Sebenarnya, apa yang ingin aku sampaikan bersama foto-foto ini adalah ungkapan perkataan 'disebalik' bagi 2 imej yang dipaparkan itu.  

Walaupun kedua-dua spesis ini membawa bersama mereka reputasi negatif, tetapi disebalik reputasi negatif itu terdapat aspek lain yang mungkin tidak terjangkau oleh fikiran.  Umpamanya masih ada orang yang menjadikan spesis berbisa ini sebagai haiwan peliharaan (pets) yang amat disayangi.  Mustahil aku  akan dapat mendekati ular berbisa ini sekiranya bertemu dalam suasana yang  lain! 

Oleh itu, janganlah kita mentafsir sesuatu berdasarkan pandangan mata kasar dan  logik akal  semata-mata kerana pasti ada sesuatu disebaliknya yang mungkin tidak diketahui oleh kita....Jothmen

Berbeza Perspektif


Anda tentu perasan tagline Lensa Kamera yang berbunyi 'Pandangan Menerusi Lensa kamera Memberi Perspektif Yang Berbeza Dari Pandangan Mata.  Adakala Tidak Terungkap Dengan Kata-Kata, Adakala Lebih Indah Dari Seribu Bahasa'.

Foto-foto dalam entry ini mungkin boleh menjelaskan maksud tagline itu.

Ketika balik bercuti di kampung baru-baru ini aku mengambil kesempatan meninjau-ninjau sekitar kawasan  rumah bagi mencari makhluk-makhluk 'halus' untuk dijadikan sasaran lensa kamera aku.  Serangga-serangga kecil ini mungkin tidak menarik perhatian pada pandangan mata kasar tetapi tanpa kita sedari sebenarnya mereka dicipta sebagai makhluk yang menarik, sama ada pada kombinasi warna atau penampilan.  Sebagai makhluk yang amat kecil, kajian mengatakan bahawa kombinasi warna atau penampilan itu amat penting  sebagai satu teknik pertahanan diri.

Umpamanya serangga di atas yang jika dilihat dengan mata kasar, tiada apa yang istimewa dan menarik padanya. Ia hanya serangga kecil yang amat biasa ditemui di kawasan kampung.  Kemungkinan sarang berwarna putih pada daun cempedak itu menempatkan telurnya.  Namun bersenjatakan SP90 f2.8, imej yang dihasilkan  telah menjangkaui pandangan mata kasar.  Ketika melihatnya mengawal sarang, aku tidak nampak dan tidak menyedari terdapat 'duri-duri' pada kakinya dan jaluran menarik pada badannya sehinggalah selepas foto ini diambil. Dengan warna dan penampilan diri sebegini sudah tentu serangga kecil ini kelihatan amat menakutkan pada pandangan serangga lain.
                                                                                                 
Begitu juga dengan serangga ini yang aku temui sedang bersantai pada  sehelai daun mangga.  Kenyang agaknya. Inilah rupa bahagian kepala seekor lalat yang amat biasa kita temui.

Manakala imej terakhir dalam entry ini pula adalah titisan embun pada batang buluh madu. Apa yang menarik pada foto ini  adalah imej rumah kampung aku yang kelihatan pada titisan embun tersebut.   Walaupun foto ini dirakam sekitar jam 8.00 pagi tetapi rimbunan buluh madu tersebut dan pokok-pokok disekelilingnya telah menghalang pancaran terus cahaya matahari dan sekaligus mengekalkan banyak titisan embun untuk aku rakamkan...Jothmen

Terbakar Selepas Kemalangan: Dimana Silapnya...

Sejak kebelakangan ini amat kerap kita mendapat berita kebakaran kenderaan yang terlibat dalam kemalangan jalanraya.  Hampir setiap minggu terdapat kejadian mengenainya.  Kenapa terjadi begitu?  Kenapa sebelum ini amat jarang terjadinya kejadian kenderaan terbakar selepas terlibat dalam kemalangan?

Aku tidak arif mengenai isu teknikal kenderaan mahupun unsur-unsur yang terdapat dalam bahan api yang kita isi ke dalam tangki kenderaan.  Walau apapun, setiap kejadian mesti ada penyebabnya apatah lagi jika ianya terlalu kerap berlaku!!.

Sekiranya bilangan kemalangan jalanraya di negara kita dikatakan yang tertinggi di dunia, maka antara penyebabnya adalah sikap pemandu kita apabila berada di jalanraya.  Itulah yang sering dimomokkan kepada kita.  Sebaliknya jika berlaku kebakaran kenderaan yang terlibat dalam kemalangan, adakah kita masih merujuk kejadian kebakaran kenderaan itu sebagai berpunca daripada sikap pemandu?  Mungkin suku darinya betul iaitu sikap pemandu yang menyebabkan kemalangan tetapi adakah pemandu itu juga yang mencetuskan api kebakaran?  Aku rasa tentu sekali tidak.

Satu perkara yang terlintas dalam benak aku adakah ianya berpunca dari bahan api yang dituang ke dalam tangki kenderaan kita.  Memang tidak disangkal bahan api itu adalah bahan bakar dan bahan api itulah yang memarakkan api kebakaran.  Isunya adalah kenapa 10 - 15 tahun lalu bahan api ini tidak (atau kurang) mencetuskan kebakaran kenderaan yang terlibat dalam kemalangan.  Kadar kemalangan jalanraya juga tinggi ketika itu!!

Dalam kedaifan mengenai ilmu bahan api ini, aku maklum bahawa petrol di negara ini mengandungi kandungan octane yang tinggi.   Pada masa sekarang petrol di Malaysia dijual dalam 2 kategori iaitu RON 95 dan RON 97.  Sedangkan di Indonesia kandungan octane paling tinggi hanyalah RON 95.  Manakala di India, mereka masih lagi menggunakan RON 89 dan RON 91.  Petrol premium adalah petrol biasa yang ditambah additive dan tidak mengubah kandungan octane.  Di Barat/Eropah pula, ada negara yang telahpun menggunakan RON 100.  Itu senario di Barat/Eropah yang rata-ratanya beriklim sejuk.  Bagaimana pula dengan negara dalam kawasan panas seperti di sini?

Mungkin aku silap....tetapi tak salah rasanya jika pihak yang mahir dalam perkara ini menjelaskan kepada masyarakat mengenai octane atau additive lain dalam petrol supaya masyarakat tidak  terus menuding jari kepada petrol yang dijual di Malaysia sebagai penyebab kebakaran kenderaan yang terlibat dalam kemalangan.

Seperti kenyataan aku di awal tadi iaitu setiap kejadian mesti ada penyebabnya apatah lagi jika ianya terlalu kerap berlaku....- Jothmen

Melaka Maju 2010

Tahniah kepada semua penduduk Melaka yang kini bergelar negeri maju. Setinggi tahniah juga kepada semua pemimpin negeri Melaka yang mencetuskan wawasan menjadikan Melaka berstatus negeri maju, terutama wawasan pemimpin negeri ini 10 tahun lalu yang turut disokong oleh jentera pentadbiran negeri dan telah berjaya menghadapi cabaran untuk memenuhi impian itu. Bagi tempoh 10 tahun akan datang, kita tunggu pula bagaimana Melaka mengharungi cabaran untuk menjadi negeri Bandar Teknologi Hijau yang pertama di Malaysia.

Sebenarnya dalam konteks Malaysia, status 'maju' merupakan wawasan semua kerajaan negeri. Memang mudah memasang impian dan mencetuskan wawasan untuk mencapai status negeri maju. Namun begitu, kenyataannya adalah berapa ramai pemimpin negeri lain yang terpaksa melupakan impian itu dan akur kepada realiti atau dalam lain perkataan 'impian tidak menjadi kenyataan'. Senario sebegini banyak terjadi termasuk di negeri kelahiran aku, yang suatu masa dahulu pernah mewar-warkan wawasan untuk menjadi negeri maju pada 2010 tetapi kini telah menukar wawasan untuk hanya menjadi sebuah Negeri Sejahtera!!

Mencapai status negeri maju bukan hanya sekadar satu barisan perkataan yang terpampang pada papan iklan besar di tepi jalan tetapi lebih dari itu ia memerlukan komitmen jitu kepimpinan negeri itu sendiri. Sememangnya aku kagum dengan prestasi negeri Melaka yang berjaya memenuhi 29 daripada 32 indikator yang ditetapkan sebagai kriteria untuk diiktiraf negeri maju. Sementelahan, pengiktirafan itu diberikan oleh pihak luar dan tentu sekali Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) yang berpangkalan di Paris melihat pencapaian Melaka telah memenuhi kriteria yang ditetapkan itu. Malah apa yang lebih membanggakan adalah apabila terdapat di antara 29 indikator tersebut yang pencapaiannya lebih baik dari negara maju.

Apa yang paling penting dalam episod ini adalah inisiatif pemimpinnya ke arah menjadikan Melaka negeri paling bersih di Malaysia melalui pendekatan "MENCARI SAMPAH DAN BUKANNYA MENGUTIP SAMPAH".

Pendekatan ini sebenarnya menuntut perubahan minda yang merubah sama sekali pendekatan Pihak Berkuasa Tempatan dalam aspek pengurusan sampah di peringkat pertengahan. 'Mengutip sampah' membawa konotasi bahawa hanya sampah sarap yang kelihatan pada pandangan mata (atau yang dikumpul) sahaja akan dipungut untuk dilupuskan. Sebaliknya 'mencari sampah' membawa konotasi yang jauh lebih mendalam dan ianya meliputi perbuatan mencari dan mengutip sampah sarap yang tersorok untuk dilupuskan!

Sekiranya pendekatan ini turut diamalkan oleh semua kepimpinan negeri lain di Malaysia, nescaya Malaysia pasti dapat menandingi negara jiran, sekurang-kurangnya dalam aspek kebersihan. - Jothmen