Penghargaan Buat Semua

(Alya Nur Zahra - 1 bulan)
Hari ini genap sebulan kelahiran pra-matang Alya Nur Zahra. Walaupun masih di ICU tapi dia tidak lagi bergantung sepenuhnya pada bantuan mesin pernafasan.  Kini mampu diselang seli dengan keupayaan sendiri. Satu perkembangan yang amat positif bagi bayi 26 minggu @ 800 gram sepertinya.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada Pediatrician Datuk Dr. Ng Kock Chai dan semua Jururawat yang merawat dengan baik Alya Nur Zahra di ICU Putra Specialist Hospital.  Tidak lupa juga petugas keselamatan ICU PSH yang sentiasa memberi layanan istimewa kepada aku dan isteri setiap kali kunjungan kami ke situ.

Tidak terhingga juga ucapan terima kasih kepada semua rakan taulan yang menziarahi serta mendoakan kesejahteraan kami terutama Alya Nur Zahra. Budi baik, ingatan serta doa ikhlas anda semua akan tetap kami kenang selamanya.

Perhargaan yang teramat istimewa juga kepada majikan aku yang amat prihatin mengenai kebajikan pekerjanya malah turut membiayai sepenuhnya kos rawatan Alya Nur Zahra.  Dalam kes Alya Nur Zahra ini, aku masih ingat lagi antara kata-kata bos aku iaitu "jangan bimbang tentang kos, yang penting baby u mendapat rawatan yang terbaik".

Dan tatkala aku menatap salinan bil  bulan pertama bagi rawatan Alya Nur Zahra di ICU PSH, aku termenung sejenak dan terfikir sekiranya aku tidak bekerja dengan majikan prihatin  ini, tak mungkin aku mampu mendapatkan rawatan pakar yang terbaik untuk Alya Nur Zahra seperti di sini. - Jothmen