Selamat Tahun Baru 2009


Sebagai menghargai anda semua yang mengikuti Lensa Kamera, aku hadiahkan sekuntum bunga sebagai tanda terima kasih yang lahir dari hati yang ikhlas. Sudi-sudilah terima kuntuman bunga yang aku sendiri pun tak tau apa namanya ini. - Jothmen

'Sedamai Kinabalu'


Sebagaimana topik entry ini, foto yang terpapar adalah Gunung Kinabalu. Aku akui ini bukan koleksi foto terbaik yang berada di dalam simpananku. Namun ia mempunyai nilai tersendiri yang tak mampu aku ketepikan. Lihat sahaja kedamaian yang berada di kaki Kinabalu ini. Kehijauan hutan disulami dengan kediaman di sekeliling kakinya pasti mampu mendamaikan pandangan. Walaupun puncaknya berbatu namun keindahannya masih mampu memukau mata.

Sebenarnya aku berkesempatan ke daerah Kinabalu ini atas satu tugasan rasmi suatu ketika dahulu. Sekiranya tidak kerana tugasan rasmi itu, mungkin aku belum berkesempatan menjejak kaki ke daerah damai ini. Kerana susah untuk mendapatkannya maka foto ini masih kemas tersimpan dan kerana kesusahan itulah yang menghalang aku dari membuangnya begitu sahaja. Tak sanggup. Benar kata orang bahawa sesuatu yang susah untuk diperolehi mempunyai nilai yang amat tinggi. Namun sayang sekali hasrat untuk menaklukinya masih belum kesampaian. Hasrat itu masih tersimpan dan aku yakin suatu masa nanti aku dapat menakluki sepenuhnya damai ini. Itulah keyakinanku.

Argh...sori la. Kalau pasal hasrat yang belum kesampaian macam ni, aku mudah jadi 'emo' sikit.

Tapi yang pasti Damai dan Kinabalu cukup sinonim untuk diungkapkan. Dan aku juga pasti akan berjaya menakluki sepenuhnya wajah damai itu. Hanya aku dan Dia yang tahu......Pasti!! - Jothmen

Ular Menyusur Akar Tak Akan Hilang Bisanya

Sekiranya dahulu aku muncul dengan entry mengenai satu simpulan bahasa yang berbunyi 'Senyum Simpul', namun kali ini peribahasa 'Ular Menyusur Akar Tak Akan Hilang Bisanya' pula yang menjadi pilihan.

Dalam bahasa yang mudah difahami, peribahasa ini bermaksud orang besar atau pemimpin yang merendah diri tidak akan jatuh martabatnya.

Sebenarnya aku tidak berniat hendak bersikap 'sarcastic' terhadap mana-mana pemimpin. Baru-baru ini semasa menunaikan solat sunat Aidiladha di sebuah Masjid Negeri, mata aku sendiri menyaksikan tingkah seorang pemimpin pilihan rakyat. Dengan langkah mendada berjalan menuju ke tempat solat VIP, tiada langsung tanda hormat yang ditunjukkan kepada golongan marhain yang duduk membarisi saf di tengah masjid, termasuk aku!! Rendahkah martabat pemimpin itu jika menghulurkan tangan untuk bersalam dengan golongan marhain ini? Bukannya aku ghairah sangat hendak bersalam dengannya tetapi bukankah bersalam itu budaya hormat rakyat Malaysia?

Kadang-kadang aku membuat perbandingan nakal antara pemimpin kita dengan pemimpin negara jiran - Thailand. Lihat sahaja bagaimana pemimpin mereka hatta raja sekalipun bersikap merendah diri dan menunjukkan tanda hormat apabila berhadapan dengan rakyat.

Sebenarnya kita tidak perlu menjelajah jauh hingga ke hujung dunia untuk mempelajari nilai-nilai murni ini. Dekat sahaja. Hanya di sebelah sempadan. Jengoklah!!!

Hmmm... itulah yang aku maksudkan dengan peribahasa 'Ular Menyusur Akar Tak Akan Hilang Bisanya'. - Jothmen

Tanah Runtuh


Pagi Sabtu (6 Disember 2008) sekali lagi rakyat Malaysia terpaku di hadapan kaca T.V masing-masing untuk mendapatkan maklumat mutakhir mengenai kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa. Kejadian terbaharu ini memusnahkan 14 buah rumah banglo, meragut 5 nyawa dan mencederakan berbelas-belas penghuni yang lain. Manakala beribu-ribu penduduk yang lain terpaksa mengosongkan kediaman masing-masing. Lokasi kejadian malang ini terletak 1.5km dari lokasi tragedi blok Highland Towers yang tumbang pada 11 Disember 1993 dan mengorbankan 48 orang.

Sebenarnya aku sempat mengikuti kerja-kerja menyelamat semasa kejadian melibatkan Highland Towers kira-kira 15 tahun lalu kerana kejadian tersebut berlaku pada hari kedua aku terlantar di Hospital Besar Melaka selepas menjalani satu pembedahan kecil di situ. Jadi, peluang aku berehat di katil hospital digunakan sepenuhnya untuk mengikuti siaran langsung yang disiarkan di T.V ketika itu.

Dalam masa sebulan dua selepas peristiwa tersebut, berbagai pandangan dan komen dibuat oleh banyak pihak. Bertalu-talu cadangan dikemukakan. Bermacam-macam arahan dan garis panduan dibuat oleh pihak berkuasa. Malangnya rasa insaf itu sekejap sahaja singgah di dalam hati kita.

Apabila bulan berganti bulan, tahun berganti tahun - punca peristiwa malang itu seakan-akan dilupakan. Permohonan untuk memajukan kawasan berbukit kembali menerjah pintu pejabat Pihak Berkuasa. Aku berani katakan banyak permohonan yang diterima oleh Pihak Berkuasa berdasarkan kepada banyaknya projek pembangunan di kawasan berbukit. Mustahil kerja-kerja tersebut dibuat tanpa kelulusan. Pihak yang tamak haloba untuk mengaut keuntungan hasil dari projek di kawasan berbukit ini sanggup melakukan apa sahaja. Permohonan pasti disertakan dengan berjela-jela laporan teknikal dan berkajang-kajang surat sokongan. Akhirnya apabila memenuhi syarat yang ditetapkan, maka permohonan diluluskan.

Kejadian-kejadian tanah runtuh sehingga mengorbankan nyawa ini mengingatkan aku kepada buku berjudul The Malay Dilemma. Namun dalam konteks rakyat Malaysia, aku rasa sepatutnya ada sebuah buku lain yang berjudul The Malaysian Dilemma. - Jothmen

Sumber foto - Utusan Malaysia

Senyum Simpul


Sekiranya entry terdahulu aku mengutarakan satu simpulan bahasa, namun kali ini aku tidak bercadang untuk menulis mengenai simpulan bahasa lagi walaupun ada idea dan permintaan dari pembaca. Malah ada pembaca yang mengesyorkan topiknya sekali namun aku masih waras untuk membuat pertimbangan. Mungkin lain kali aku akan muncul lagi dengan entry yang panas begitu dan dengan mengambil kira topik yang disyorkan tersebut.

Entry aku kali ini bertajuk 'Senyum Simpul'. Sengaja aku pilih topik ini untuk 'meringankan' kembali blog aku yang sejak akhir-akhir ini terbabas kepada isu-isu yang agak panas walaupun aku cuba 'melembutkannya' dengan olahan ayat aku sendiri.

'Senyum Simpul' bukanlah simpulan bahasa tapi aku rasa ianya adalah satu kata ganda - agaknya lah. Kalau ada guru BM atau bekas guru BM yang membaca entry ini, bolehlah betulkan fakta tersebut sekiranya aku tersilap. Senyum simpul seseorang itu mampu merobek dan mencairkan hati orang lain yang melihatnya. Lihat sahaja foto model cilik di dalam entry ini. Lirikan mata dan ukiran senyumnya pasti menggoda hati setiap orang yang melihatnya. Hmmmm...mungkinkah ukiran senyum begitu yang dikatakan 'Senyum Simpul'? - Jothmen.