Di sebalik....

Aku pasti anda tahu spesis yang terpampang dalam foto ini.  Ia merupakan salah satu spesis 'siput taman' (garden snail) yang amat biasa didapati dalam kebun atau taman di sekitar kita. Kebiasaannya siput ini merupakan ancaman dan musuh kepada tanaman kerana tabiatnya yang menjadikan pucuk dan daun sebagai makanan dan sekaligus mencacatkan kecantikan taman malah boleh memusnahkan keseluruhan taman jika pembiakannya tidak dikawal.

Namun begitu, di sebalik reputasi buruk tersebut, garden snail yang kecil ini sebenarnya mampu menjadi sabjek fotografi yang amat menarik. Seingat aku siput ini hanya sebesar duit siling 5 sen dan foto ini  dirakam ketika kunjungan aku ke satu kawasan tanah tinggi baru-baru ini.  

Begitu juga dengan spesis ular rona hijau di sebelah ini.  Tergolong dalam keluarga ular berbisa pit viper (ular kapak), 'rakan' baru aku ini kelihatan amat selesa sekali sewaktu  didekati setelah mendapat kebenaran pemiliknya bagi mendapatkan sudut fotografi terbaik.  Mungkin menyedari dirinya sebagai bintang, ia langsung tidak mempamirkan aksi tidak selesa atau terancam dan ini memudahkan aku menyelesaikan tugas.

Sebenarnya, apa yang ingin aku sampaikan bersama foto-foto ini adalah ungkapan perkataan 'disebalik' bagi 2 imej yang dipaparkan itu.  

Walaupun kedua-dua spesis ini membawa bersama mereka reputasi negatif, tetapi disebalik reputasi negatif itu terdapat aspek lain yang mungkin tidak terjangkau oleh fikiran.  Umpamanya masih ada orang yang menjadikan spesis berbisa ini sebagai haiwan peliharaan (pets) yang amat disayangi.  Mustahil aku  akan dapat mendekati ular berbisa ini sekiranya bertemu dalam suasana yang  lain! 

Oleh itu, janganlah kita mentafsir sesuatu berdasarkan pandangan mata kasar dan  logik akal  semata-mata kerana pasti ada sesuatu disebaliknya yang mungkin tidak diketahui oleh kita....Jothmen