Kedah Maju 2010


Sebagai anak watan Kedah yang mencari rezeki di perantauan, aku menulis dan menyampaikan pandangan secara jujur mengenai Kedah Maju 2010. Kedah Maju 2010 merupakan wawasan untuk menjadikan negeri Jelapang Padi ini setanding dengan negeri lain di Malaysia.

Sebenarnya aku agak kecewa melihat wajah Alor Setar kini yang tidak banyak berubah selepas lebih 20 tahun lalu. Walaupun berstatus Bandaraya tetapi Alor Setar masih dipenuhi sampah sarap, rumput dan lalang tumbuh bagai tidak terjaga malah keadaan malam masih suram - sama seperti dahulu. Hairan - ke mana perginya petugas Majlis Bandaraya Alor Setar atau adakah peruntukan tidak mencukupi untuk menyelenggara Bandaraya ini?

Alor Setar bukannya tiada mercu tanda atau bangunan lama dengan senibina yang menarik. Alor Setar ada Balai Besar, Balai Seni, Balai Nobat, Menara Jam Besar, Masjid Zahir dan Menara Alor Setar yang kesemuanya berada dalam lingkungan 500 meter. Malangnya kawasan yang sepatutnya boleh dieksploitasi sebagai daya tarikan ini tidak digunakan sepenuhnya. Kawasan sekitar Menara Alor Setar dipenuhi dengan sampah sarap, rumput dan lalang yang seolah olah tidak terjaga. Sekiranya Menara ini ingin dijadikan daya tarikan pelancong, inisiatif yang lebih perlu dibuat untuk mengindahkan persekitaran dan Menara itu sendiri.

Aku pernah berkunjung ke beberapa negeri yang mempunyai mercu tanda seperti ini termasuk bangunan-bangunan lama dan aku dapati kewujudannya dieksploitasi dengan hebat sebagai daya tarikan. Mercu tanda ini disimbahi dengan lampu yang sekaligus menjelmakan pemandangan yang memukau pandangan mata.

Terkenang aku pada tahun-tahun 1980an dulu - kalau hendak ke Alor Setar dari kampung, aku akan menggunakan perkhidmatan Syarikat Bas Gunong (kebetulan syarikat ini satu-satunya yang menyediakan perkhidmatan melalui kampung aku). Tatkala bas mula memasuki pusat bandar aku rasa tak sabar menjengah ke luar tingkap bas untuk melihat air pancut di Bulatan Telok Wanjah. Ketika itu pancuran airnya amat mempersonakan. Sekarangpun masih ada struktur air pancut itu tapi sayang air pancutnya tidak ada lagi. Keadaan sekeliling seolah-olah terabai. Sepatutnya keadaan di sini menjadi lebih baik selepas lebih 20 tahun.
Aku juga tertanya-tanya apa signifikan dibina satu 'tugu' sempena sambutan 50 tahun pemerintahan DYMM Sultan Kedah di satu kawasan lapang berdekatan Kompleks Mahkamah Alor Setar. Aku katakan 'tugu' kerana jika binaannya bertujuan untuk menjadi daya tarikan pelancong - aku rasa hasrat itu tak tercapai langsung. Binaannya cantik - ada replika keris dan tengkolok tetapi sayang ia bagaikan tugu. Kalau hendak dijadikan tarikan, inisiatif perlu dibuat supaya replika itu lebih terserlah terutama pada malam hari. Simbahilah dengan lampu dan jangan biar ia nampak suram yang sekaligus menenggelamkan keindahan senibina replika itu. 

Sejujurnya aku katakan bahawa secara fizikalnya Bandaraya Alor Setar tidak berkembang selaras dengan wawasan Kedah Maju 2010. Aku melihat Alor Setar tak lebih sebagai bandar daerah dan bukannya sebagai ibu negeri. Kemajuan sesebuah negeri dicerminkan oleh keterampilan ibu negerinya dan dalam hal Bandaraya Alor Setar, aku masih belum nampak keterampilan itu. - Jothmen

MERDEKA, MERDEKA, MERDEKA!!

LENSA KAMERA mengucapkan selamat menyambut Hari Kemerdekaan kepada semua pengunjung yang dihormati. Sesungguhnya sebagai seorang yang pernah terlibat secara langsung dalam hal ehwal keselamatan negara, hari ulang tahun kemerdekaan ini membawa erti yang tersendiri kepada aku. Bagi kebanyakan orang, 31/8 hanya sekadar angka dan diraikan sakan dengan membeli belah kerana di sana-sini terdapat bermacam-macam tawaran istimewa.

Setelah 52 tahun merdeka, fokus kita sekarang sepatutnya kepada soalan bagaimana hendak mengisi kemerdekaan itu. Kemerdekaan perlu dijaga dan dikawal agar tiada anasir lain menggugatnya. Sayangnya kebanyakan generasi kini seolah-olah lupa apa itu merdeka dan bagaimana generasi terdahulu berjuang untuk mendapat dan menjaga merdeka itu.

Merdeka bukan sekadar laungan setahun sekali tetapi merdeka itu perlu dihayati dan diamal sepanjang masa. Merdeka minda, merdeka hati dan merdeka tingkah laku. Itulah yang dimaksudkan dengan menjaga dan memelihara kemerdekaan, sekurang-kurangnya itu pendapat aku. MERDEKA...MERDEKA...MERDEKA. -Jothmen

1 Barisan


Imej yang tertera menunjukkan satu barisan tiang lampu yang membarisi sebatang jalan, itulah sebenarnya significant yang tidak terucap pada tajuk entry ini. Secara abstrak, penjelasan kepada tajuk entry dan photo adalah seperti berikut.

Sekiranya rakyat Malaysia sudah mula memahami konsep 1Malaysia, aku akan ketengahkan pula pendekatan 1Barisan. Opppss.... 1Barisan ini tak ada kena mengena dengan politik. Cuma satu pendekatan bagi menghadapi cabaran.

Sebenarnya kita tidak boleh merasa complacent dengan pencapaian kini sebaliknya kita perlu tanamkan tekad untuk menjadi lebih baik dari pencapaian kini. Kita perlu berada dalam 1Barisan untuk membuat improvement. Kita perlu berada dalam 1Barisan untuk mencipta kejayaan dan mencapai kecemerlangan.

Tanamkan iltizam iaitu we want to improve. Kita hendakkan improvement dalam semua aspek yang berkaitan dengan diri dan pekerjaan, umpamanya:-
  1. Kita hendakkan improvement dalam aspek berkaitan diri - merujuk kepada kejayaan dunia dan akhirat.
  2. Kita hendakkan improvement dalam aspek berkaitan pekerjaan - merujuk kepada keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan.
Semua improvement yang dihajati itu tidak akan menjadi kenyataan sekiranya kita tidak berada dalam 1Barisan. Sepertimana satu barisan lampu yang bersatu mengeluarkan cahaya yang lebih terang untuk menerangi sebatang jalan.

Pendekatan 1Barisan menyokong konsep 1Malaysia. Hebat tu. - Jothmen

Ujian Dalam Hati

UJIAN DALAM HATI

UJIAN

HATI YANG SAKIT

HATI YANG SIHAT

KAYA

SOMBONG

PEMURAH

MISKIN

KELUH KESAH

REDA

SIHAT

LUPA

SYUKUR

SAKIT

GELISAH

SABAR

TUA

MERANA

TENANG

MUDA

LALAI

BERINGAT



* Sumber: Majalah Solusi - Panduan Hidup Bersyariat (Isu No. 6)

Kalau Roboh Kota Melaka....

Kalau roboh Kota Melaka

Papan di Jawa hamba dirikan

Kalau sungguh bagai di kata

Badan dan nyawa hamba berikan


Serangkap pantun lama yang lengkap dengan rima serta bait-bait yang menarik dengan susunan kata-kata ringkas dan tepat. Pantun merupakan puisi tradisi Melayu yang di dalamnya terserlah kehalusan budi dan ketajaman fikiran.

Namun begitu entry aku kali ini bukan hendak memperkatakan mengenai pantun dengan panjang lebar sebaliknya foto yang terpapar ini. Foto ini sebenarnya adalah replika sebahagian dari Kota Melaka yang didirikan semula di atas runtuhan asal Kota tersebut. Runtuhan Kota Melaka dan replika yang dibina di atasnya amat besar makna untuk diselami, jika kita mahu menganalisa peristiwa ini.

Kegagalan dan kejayaan dalam hidup boleh diterjemahkan secara simbolik dengan peristiwa ini. Keruntuhan Kota Melaka boleh digambarkan sebagai kegagalan manakala replika yang berdiri tegak di atas runtuhan itu adalah kejayaan yang timbul akibat kegagalan tersebut. Walaupun replika ini dibina selepas beratus tahun runtuhnya Kota asal, namun kerana ada diantara kita faham sejarah, hasilnya anak cucu kini dapat melihat apa yang nenek moyang mereka lihat beratus tahun dahulu.

Kegagalan bukan bermakna membawa natijah buruk dalam hidup. Kita boleh bangkit dari kegagalan asalkan kita sedar serta tahu asal usul dan gunakan kesedaran serta pengetahuan itu untuk mencipta kejayaan. - Jothmen

Kerana Mu Malaysia Maju

Istimewa untuk semua pelawat Lensa Kamera - tidak kiralah siapa anda atau dimana anda berada atau apa pekerjaan anda, aku ucapkan 'Selamat Hari Pekerja'. Sesungguhnya sebagai masyarakat pekerja, tidak dapat dinafikan bahawa kitalah yang memacu kemajuan negara. Walau sekecil mana peranan anda atau sebesar mana sumbangan anda, anda tetap mempunyai peranan dalam pembangunan negara. Kerana Mu Malaysia Maju! - Jothmen

Era Baru?

Penantian telah berakhir dan semua yang menjadi teka teki sudah terserlah. Rakyat Malaysia mempunyai Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kabinet yang baru. Tugas dan tanggungjawab pemimpin baru ini sudah pasti amat mencabar tambahan lagi dengan pendekatan yang ditinggalkan oleh pemimpin lama. Aku rasa pendekatan berlembut dan terlalu 'terbuka' yang ditinggalkan oleh Pak Lah pasti akan menghantui saf kepimpinan baru ini. Sama-sama kita lihat bagaimana Datuk Seri Najib menangani masalah negara dalam 100 hari pertamanya.

Namun begitu aku tertarik dengan aturan yang terjadi dalam senario politik arus perdana ini. Sekiranya abjad 'RAHMAN' sempena nama PM pertama berjaya menepati ramalan penyandang jawatan PM selepasnya, kini senario yang hampir sama juga seolah-olah akan terjadi. PM sekarang adalah anak kepada Tun Abdul Razak dan senarai kabinetnya turut menampilkan anak kepada Tun Hussien dan anak kepada Tun Dr. Mahathir. Walaupun Mukhriz hanya Timbalan Menteri tetapi kementerian yang didudukinya bukan sebuah kementerian 'kampung'. Kita juga jangan lupa dengan Pak Lah yang walaupun tiada anak didalam kabinet baru ini tetapi beliau juga ada waris yang sedang menapak kukuh dalam dunia politik. Tidak mustahil suatu hari nanti KJ juga akan tersenarai sebagai seorang menteri kabinet.

Sekiranya ramalan aku tepat, senario baru ini mungkin akan menampilkan PM Malaysia seperti berikut, iaitu Najib, ........, Hishamuddin, Mukhriz, ............, ............, KJ. - Jothmen

Penat

Aku penat.....


........penat menyiapkan kerja yang tak tahu bila akan siap.- Jothmen

Berubah Sebelum Rebah


Aku sempat mengikuti majlis penutupan Perhimpunan Agung UMNO Ke-59 melalui kaca T.V. Sepanjang setengah hari itu terdapat dua perkara yang amat menyentuh hati dan mendorong aku menulisnya di sini.

Pertama, ketika ucapan menggulung perbahasan oleh Timbalan Presiden, sekonyong-konyong ternampak di kaca T.V wajah Tun Dr. Mahathir masuk ke dewan persidangan. Serentak dengan itu, Timbalan Presiden membuat perisytiharan bahawa Negarawan ini telah kembali ke pangkuan UMNO. Peristiwa ini amat significant dan besar impaknya kepada UMNO. Aku juga melihat ianya sebagai simbolik endorsement kepada barisan kepimpinan baru UMNO. Malah ianya juga isyarat kembalinya kekuatan UMNO yang sejak akhir-akhir ini terkapai-kapai untuk mendapatkan sokongan orang Melayu.

Kedua, Presiden melaungkan keazamannya untuk membuat perubahan kepada kouta kelayakan bertanding dan proses pemilihan pemimpin parti. Lazimnya seorang pemimpin yang baru berkuasa agak takut melaungkan perubahan yang boleh menjejaskan kepentingannya. Kita biasa mendengar orang melaungkan reformasi sebelum memegang kuasa tetapi amat jarang seorang pemimpin melaungkan reformasi ketika mula berkuasa. Gema laungan 'SETUJU' kepada perubahan yang memenuhi dewan perlu diterjemahkan dalam bentuk perlaksanaan. Segerakan kajian pindaan Perlembagaan UMNO !!

Secara peribadi aku melihat UMNO sememangnya amat perlukan perubahan. Sekurang-kurangnya perubahan ini dapat menghakis 'penentangan dalaman' yang banyak melemahkan UMNO. Sesungguhnya kesediaan UMNO meminda Perlembagaan parti berkaitan pemilihan pemimpin perlu dialu-alukan. Sesungguhnya juga amalan memilih 2600 ahli bagi mewakili keseluruhan ahli parti untuk memilih pemimpin tertinggi telah sekian lama dikenal pasti sebagai punca politik wang. Sudah ramai pemimpin yang terjebak dalam kemelut ini. Oleh itu kesediaan meminda perlembagaan parti supaya pemimpin dipilih secara telus amat dinanti-nantikan. Berikan kuasa kepada setiap seorang ahli untuk memilih secara terus pemimpin yang mereka kehendaki. Terapkan konsep memilih wakil rakyat melalui pilihanraya ke dalam proses pemilihan pemimpin tertinggi parti. Aku rasa inilah corak perubahan yang perlu dilakukan oleh UMNO. Diharapkan juga perubahan ini dapat membendung gejala politik wang dan secara tidak langsung dapat memperkasakan semula UMNO.

Walau apapun, keputusan tiga pilihanraya kecil dalam masa terdekat ini khususnya Parlimen Bukit Gantang dan DUN Bukit Selambau boleh dijadikan kayu ukur untuk menilai sejauh mana kebangkitan semula UMNO. - Jothmen


Sumber foto: The Star Photo Gallery

Sokong Membawa Rebah

'Sokong Membawa Rebah' adalah kata-kata orang Melayu yang amat elok untuk dibuat renungan dengan situasi pemimpin ini. Aku tak pasti sama ada kata-kata itu merupakan satu peribahasa, kata bidalan, perumpamaan atau simpulan bahasa. Atau mungkin juga bukan dari kelompok itu. Namun dalam sejarah hidup aku, kata-kata itu acap kali telah aku dengar. Semuanya merujuk kepada keadaan seperti yang dihadapi oleh pemimpin ini.

Aku bukannya nak komen lebih-lebih tapi sekadar memberi peringatan bahawa orang-orang di sekeliling kita berupaya menjulang dan juga mampu menjatuhkan kita. Keadaan ini bukan sahaja dalam politik malah di pejabat! Moral dari kisah ini adalah HATI-HATI. Manis mulut, lembut tindakan dan sorak menjulang belum tentu mampu menjadi madu dan penawar.

Dalam kes pemimpin ini, berdasarkan penemuan Lembaga Disiplin, masalah yang dihadapinya berpunca dari orang-orang kepercayaan yang berada di sekelilingnya. Mungkin betul pemimpin ini tidak melakukannya tetapi orang kepercayaannya yang 'melanggar etika parti' (memetik kata Lembaga Disiplin).

Walau apa pun, aku ucapkan tahniah dan syabas kepada sahabat aku yang bertungkus lumus membanteras perbuatan 'langgar etika parti' seperti ini. Syabas bro. Tingkatkan lagi usaha membanteras perbuatan 'langgar etika parti' yang amat bermaharajalela termasuk di peringkat akar umbi. - Jothmen.

Sumber foto: Berita Harian 19/3/09