Sebagai anak watan Kedah yang mencari rezeki di perantauan, aku menulis dan menyampaikan pandangan secara jujur mengenai Kedah Maju 2010. Kedah Maju 2010 merupakan wawasan untuk menjadikan negeri Jelapang Padi ini setanding dengan negeri lain di Malaysia.
Sebenarnya aku agak kecewa melihat wajah Alor Setar kini yang tidak banyak berubah selepas lebih 20 tahun lalu. Walaupun berstatus Bandaraya tetapi Alor Setar masih dipenuhi sampah sarap, rumput dan lalang tumbuh bagai tidak terjaga malah keadaan malam masih suram - sama seperti dahulu. Hairan - ke mana perginya petugas Majlis Bandaraya Alor Setar atau adakah peruntukan tidak mencukupi untuk menyelenggara Bandaraya ini?
Alor Setar bukannya tiada mercu tanda atau bangunan lama dengan senibina yang menarik. Alor Setar ada Balai Besar, Balai Seni, Balai Nobat, Menara Jam Besar, Masjid Zahir dan Menara Alor Setar yang kesemuanya berada dalam lingkungan 500 meter. Malangnya kawasan yang sepatutnya boleh dieksploitasi sebagai daya tarikan ini tidak digunakan sepenuhnya. Kawasan sekitar Menara Alor Setar dipenuhi dengan sampah sarap, rumput dan lalang yang seolah olah tidak terjaga. Sekiranya Menara ini ingin dijadikan daya tarikan pelancong, inisiatif yang lebih perlu dibuat untuk mengindahkan persekitaran dan Menara itu sendiri.
Aku pernah berkunjung ke beberapa negeri yang mempunyai mercu tanda seperti ini termasuk bangunan-bangunan lama dan aku dapati kewujudannya dieksploitasi dengan hebat sebagai daya tarikan. Mercu tanda ini disimbahi dengan lampu yang sekaligus menjelmakan pemandangan yang memukau pandangan mata.
Terkenang aku pada tahun-tahun 1980an dulu - kalau hendak ke Alor Setar dari kampung, aku akan menggunakan perkhidmatan Syarikat Bas Gunong (kebetulan syarikat ini satu-satunya yang menyediakan perkhidmatan melalui kampung aku). Tatkala bas mula memasuki pusat bandar aku rasa tak sabar menjengah ke luar tingkap bas untuk melihat air pancut di Bulatan Telok Wanjah. Ketika itu pancuran airnya amat mempersonakan. Sekarangpun masih ada struktur air pancut itu tapi sayang air pancutnya tidak ada lagi. Keadaan sekeliling seolah-olah terabai. Sepatutnya keadaan di sini menjadi lebih baik selepas lebih 20 tahun.
Aku juga tertanya-tanya apa signifikan dibina satu 'tugu' sempena sambutan 50 tahun pemerintahan DYMM Sultan Kedah di satu kawasan lapang berdekatan Kompleks Mahkamah Alor Setar. Aku katakan 'tugu' kerana jika binaannya bertujuan untuk menjadi daya tarikan pelancong - aku rasa hasrat itu tak tercapai langsung. Binaannya cantik - ada replika keris dan tengkolok tetapi sayang ia bagaikan tugu. Kalau hendak dijadikan tarikan, inisiatif perlu dibuat supaya replika itu lebih terserlah terutama pada malam hari. Simbahilah dengan lampu dan jangan biar ia nampak suram yang sekaligus menenggelamkan keindahan senibina replika itu.
Sejujurnya aku katakan bahawa secara fizikalnya Bandaraya Alor Setar tidak berkembang selaras dengan wawasan Kedah Maju 2010. Aku melihat Alor Setar tak lebih sebagai bandar daerah dan bukannya sebagai ibu negeri. Kemajuan sesebuah negeri dicerminkan oleh keterampilan ibu negerinya dan dalam hal Bandaraya Alor Setar, aku masih belum nampak keterampilan itu. - Jothmen
1 comment:
wah bagus ni saudara jothmen..suara sebegini yg ditunggu2...aku juga kecewa dgn bandaraya kita tuu...aku bawa juga anak2 melawat kesemua kawasan yg diperkatankan itu..amat kecewa sungguh..jika dibandingkan dgn melaka..aku amat malu lat org sebelah aku nie... hampehh jerr nak tumpang kaya dgn a.s kita tuuu...tumpang balik p tgok2 pun tak berapa syokkk...mcm mana nak maju..tambahan pula la ni yg pegang org lain dah...lagi kalut macam serabutnya janggut depa mcm tu la serabutnyeee rumput dan sampah.... tepi sungai...mgkin laa nak tiru melaka..5% pun tak dak..aku ingat nak balik buka bot tepi umah aku tuuu pun tak dapekkk laa sbb nanti takut tak laku....sapa nak tgok sungai tuuu huhuuu kesian a.star... dok putar2 tak habis2... kalau lah jothmen jadi wakil rakyatke ahli parlimen kee apa yg perlu dibuat kesemua yg disebut tu mesti didahuluiii..baru ekonomi berkembang pesat mcm melaka tempat mentua2 kita hahaha... maaf pjg lebar pula aku melalut..sbb amat kecewa dgn keadaan a.s.....SAHABAT BLOG HANG..BUKAN HANG TUAH KE HANG JEBAT KER..HUHUUUU
Post a Comment