Berubah Sebelum Rebah


Aku sempat mengikuti majlis penutupan Perhimpunan Agung UMNO Ke-59 melalui kaca T.V. Sepanjang setengah hari itu terdapat dua perkara yang amat menyentuh hati dan mendorong aku menulisnya di sini.

Pertama, ketika ucapan menggulung perbahasan oleh Timbalan Presiden, sekonyong-konyong ternampak di kaca T.V wajah Tun Dr. Mahathir masuk ke dewan persidangan. Serentak dengan itu, Timbalan Presiden membuat perisytiharan bahawa Negarawan ini telah kembali ke pangkuan UMNO. Peristiwa ini amat significant dan besar impaknya kepada UMNO. Aku juga melihat ianya sebagai simbolik endorsement kepada barisan kepimpinan baru UMNO. Malah ianya juga isyarat kembalinya kekuatan UMNO yang sejak akhir-akhir ini terkapai-kapai untuk mendapatkan sokongan orang Melayu.

Kedua, Presiden melaungkan keazamannya untuk membuat perubahan kepada kouta kelayakan bertanding dan proses pemilihan pemimpin parti. Lazimnya seorang pemimpin yang baru berkuasa agak takut melaungkan perubahan yang boleh menjejaskan kepentingannya. Kita biasa mendengar orang melaungkan reformasi sebelum memegang kuasa tetapi amat jarang seorang pemimpin melaungkan reformasi ketika mula berkuasa. Gema laungan 'SETUJU' kepada perubahan yang memenuhi dewan perlu diterjemahkan dalam bentuk perlaksanaan. Segerakan kajian pindaan Perlembagaan UMNO !!

Secara peribadi aku melihat UMNO sememangnya amat perlukan perubahan. Sekurang-kurangnya perubahan ini dapat menghakis 'penentangan dalaman' yang banyak melemahkan UMNO. Sesungguhnya kesediaan UMNO meminda Perlembagaan parti berkaitan pemilihan pemimpin perlu dialu-alukan. Sesungguhnya juga amalan memilih 2600 ahli bagi mewakili keseluruhan ahli parti untuk memilih pemimpin tertinggi telah sekian lama dikenal pasti sebagai punca politik wang. Sudah ramai pemimpin yang terjebak dalam kemelut ini. Oleh itu kesediaan meminda perlembagaan parti supaya pemimpin dipilih secara telus amat dinanti-nantikan. Berikan kuasa kepada setiap seorang ahli untuk memilih secara terus pemimpin yang mereka kehendaki. Terapkan konsep memilih wakil rakyat melalui pilihanraya ke dalam proses pemilihan pemimpin tertinggi parti. Aku rasa inilah corak perubahan yang perlu dilakukan oleh UMNO. Diharapkan juga perubahan ini dapat membendung gejala politik wang dan secara tidak langsung dapat memperkasakan semula UMNO.

Walau apapun, keputusan tiga pilihanraya kecil dalam masa terdekat ini khususnya Parlimen Bukit Gantang dan DUN Bukit Selambau boleh dijadikan kayu ukur untuk menilai sejauh mana kebangkitan semula UMNO. - Jothmen


Sumber foto: The Star Photo Gallery

Sokong Membawa Rebah

'Sokong Membawa Rebah' adalah kata-kata orang Melayu yang amat elok untuk dibuat renungan dengan situasi pemimpin ini. Aku tak pasti sama ada kata-kata itu merupakan satu peribahasa, kata bidalan, perumpamaan atau simpulan bahasa. Atau mungkin juga bukan dari kelompok itu. Namun dalam sejarah hidup aku, kata-kata itu acap kali telah aku dengar. Semuanya merujuk kepada keadaan seperti yang dihadapi oleh pemimpin ini.

Aku bukannya nak komen lebih-lebih tapi sekadar memberi peringatan bahawa orang-orang di sekeliling kita berupaya menjulang dan juga mampu menjatuhkan kita. Keadaan ini bukan sahaja dalam politik malah di pejabat! Moral dari kisah ini adalah HATI-HATI. Manis mulut, lembut tindakan dan sorak menjulang belum tentu mampu menjadi madu dan penawar.

Dalam kes pemimpin ini, berdasarkan penemuan Lembaga Disiplin, masalah yang dihadapinya berpunca dari orang-orang kepercayaan yang berada di sekelilingnya. Mungkin betul pemimpin ini tidak melakukannya tetapi orang kepercayaannya yang 'melanggar etika parti' (memetik kata Lembaga Disiplin).

Walau apa pun, aku ucapkan tahniah dan syabas kepada sahabat aku yang bertungkus lumus membanteras perbuatan 'langgar etika parti' seperti ini. Syabas bro. Tingkatkan lagi usaha membanteras perbuatan 'langgar etika parti' yang amat bermaharajalela termasuk di peringkat akar umbi. - Jothmen.

Sumber foto: Berita Harian 19/3/09

Yahudi Kontrol Kongres Amerika


"Anda tahu, Amerika yang bodoh juga tahu, kami mengawal kerajaan mereka, tidak kira siapa yang menduduki Rumah Putih. Saya tahu dan anda juga tahu tiada seorang pun Presiden Amerika boleh mencabar kami walaupun jika Israel melakukan sesuatu yang tidak masuk akal. Apa yang boleh mereka (Amerika) lakukan? "Kami mengawal Kongres, kami mengawal media, kami mengawal dunia hiburan dan kami mengawal segala-galanya di Amerika. Di Amerika, anda boleh mengkritik Tuhan, tetapi bukan Israel."

Kata-kata di atas adalah petikan dari Berita Minggu bertarikh 8/2/09 yang memetik dari sumber asal di laman web Daily.pk. Artikel di laman web tersebut menyebut bahawa seorang jurucakap rejim Zionis menyatakan beliau tidak bimbang dengan pandangan Presiden Barack Obama terhadap serangan Israel ke atas Gaza kerana Washington berada di dalam genggaman Tel Aviv.

Nah...., terbukti sudah telahan aku di dalam entry terdahulu bertajuk 'Obama...ooo...Obama' bertarikh 6 November 2008 benar semuanya. - Jothmen

Sumber foto: Utusan Malaysia 25/1/09

Gambar Malam


Anda tentu masih ingat mengenai minat serta kecenderongan aku kepada night photography dan mengenai kebanyakan koleksi foto aku yang tergolong dalam genre ini. Nah, sekali lagi aku paparkan salah satu dari koleksi tersebut.

Foto ini diambil dengan mode manual (M) pada setting berikut: Shutter speed 4.5", ISO 100, Aperture 11. Kelebihan mode 'M' adalah ianya memberikan kita kebebasan untuk 'bermain' dengan shutter speed, ISO dan Aperture. Inilah hasilnya setting yang digunakan untuk merakam foto seperti yang kelihatan di dalam entry ini. Sekiranya kita menggunakan mode auto atau mode night photo (bagi sesetengah model kamera), imej yang dirakam akan nampak muram dan kusam serta kesan cahaya yang tidak 'hidup'. Kalau tak percaya, cubalah.

Satu lagi, apabila shutter speed diperlahankan, pastikan anda menggunakan tripod supaya kamera anda tetap steady sehingga tingkap lensa tertutup sepenuhnya.

Sebenarnya dalam bidang fotografi, soal kamera 'mahal atau murah' bukanlah isu utama. Isunya adalah ilmu yang dimiliki oleh jurufoto tersebut. Di tangan seorang jurufoto yang berilmu dan mahir, kamera cap ayam sekalipun tetap mampu menghasilkan imej yang memukau pandangan mata. Itulah yang menjadikan aku begitu cemburu bila menatap foto-foto hasil kerja pakar yang berilmu tersebut- Jothmen

Foto ini juga boleh dilihat di sini

Jaringan Maut


Foto ini aku ambil ketika berjalan-jalan di sebuah kawasan hutan simpan. Seingat aku, foto ini diambil menggunakan lensa zoom 70-300mm pada tahap maksimum 300mm dengan jarak lebih kurang 15 kaki dari objek dan hasilnya wujud kesan bokeh pada bahagian 'belakang' objek utama - seekor labah-labah. Malangnya aku kurang pasti nama spesies labah-labah ini.

Namun begitu entry kali ini bukan untuk memperkatakan tentang labah-labah. Sebenarnya aku lebih berminat untuk membuat perbandingan sarang labah-labah tersebut dengan kata perumpamaan Melayu yang berbunyi 'menangguk di air keruh'. 'Menangguk di air keruh' boleh diibaratkan sebagai satu situasi yang kebiasaannya dilakukan oleh seorang 'opportunist' untuk mendapatkan keuntungan untuk dirinya. Pasang jerat dan hanya tunggu mangsa yang terlalai.

Kalau kita amati betul-betul, terdapat ramai 'opportunist' yang suka menangguk di air keruh berada di sekeliling kita. Kebiasaannya juga kehadiran golongan 'opportunist' ini kita sedari dan tidak kurang juga yang tidak disedari. Apa pun golongan ini amat bahaya dan mampu menikam kita dari belakang. - Jothmen

Selamat Tahun Baru 2009


Sebagai menghargai anda semua yang mengikuti Lensa Kamera, aku hadiahkan sekuntum bunga sebagai tanda terima kasih yang lahir dari hati yang ikhlas. Sudi-sudilah terima kuntuman bunga yang aku sendiri pun tak tau apa namanya ini. - Jothmen

'Sedamai Kinabalu'


Sebagaimana topik entry ini, foto yang terpapar adalah Gunung Kinabalu. Aku akui ini bukan koleksi foto terbaik yang berada di dalam simpananku. Namun ia mempunyai nilai tersendiri yang tak mampu aku ketepikan. Lihat sahaja kedamaian yang berada di kaki Kinabalu ini. Kehijauan hutan disulami dengan kediaman di sekeliling kakinya pasti mampu mendamaikan pandangan. Walaupun puncaknya berbatu namun keindahannya masih mampu memukau mata.

Sebenarnya aku berkesempatan ke daerah Kinabalu ini atas satu tugasan rasmi suatu ketika dahulu. Sekiranya tidak kerana tugasan rasmi itu, mungkin aku belum berkesempatan menjejak kaki ke daerah damai ini. Kerana susah untuk mendapatkannya maka foto ini masih kemas tersimpan dan kerana kesusahan itulah yang menghalang aku dari membuangnya begitu sahaja. Tak sanggup. Benar kata orang bahawa sesuatu yang susah untuk diperolehi mempunyai nilai yang amat tinggi. Namun sayang sekali hasrat untuk menaklukinya masih belum kesampaian. Hasrat itu masih tersimpan dan aku yakin suatu masa nanti aku dapat menakluki sepenuhnya damai ini. Itulah keyakinanku.

Argh...sori la. Kalau pasal hasrat yang belum kesampaian macam ni, aku mudah jadi 'emo' sikit.

Tapi yang pasti Damai dan Kinabalu cukup sinonim untuk diungkapkan. Dan aku juga pasti akan berjaya menakluki sepenuhnya wajah damai itu. Hanya aku dan Dia yang tahu......Pasti!! - Jothmen

Ular Menyusur Akar Tak Akan Hilang Bisanya

Sekiranya dahulu aku muncul dengan entry mengenai satu simpulan bahasa yang berbunyi 'Senyum Simpul', namun kali ini peribahasa 'Ular Menyusur Akar Tak Akan Hilang Bisanya' pula yang menjadi pilihan.

Dalam bahasa yang mudah difahami, peribahasa ini bermaksud orang besar atau pemimpin yang merendah diri tidak akan jatuh martabatnya.

Sebenarnya aku tidak berniat hendak bersikap 'sarcastic' terhadap mana-mana pemimpin. Baru-baru ini semasa menunaikan solat sunat Aidiladha di sebuah Masjid Negeri, mata aku sendiri menyaksikan tingkah seorang pemimpin pilihan rakyat. Dengan langkah mendada berjalan menuju ke tempat solat VIP, tiada langsung tanda hormat yang ditunjukkan kepada golongan marhain yang duduk membarisi saf di tengah masjid, termasuk aku!! Rendahkah martabat pemimpin itu jika menghulurkan tangan untuk bersalam dengan golongan marhain ini? Bukannya aku ghairah sangat hendak bersalam dengannya tetapi bukankah bersalam itu budaya hormat rakyat Malaysia?

Kadang-kadang aku membuat perbandingan nakal antara pemimpin kita dengan pemimpin negara jiran - Thailand. Lihat sahaja bagaimana pemimpin mereka hatta raja sekalipun bersikap merendah diri dan menunjukkan tanda hormat apabila berhadapan dengan rakyat.

Sebenarnya kita tidak perlu menjelajah jauh hingga ke hujung dunia untuk mempelajari nilai-nilai murni ini. Dekat sahaja. Hanya di sebelah sempadan. Jengoklah!!!

Hmmm... itulah yang aku maksudkan dengan peribahasa 'Ular Menyusur Akar Tak Akan Hilang Bisanya'. - Jothmen

Tanah Runtuh


Pagi Sabtu (6 Disember 2008) sekali lagi rakyat Malaysia terpaku di hadapan kaca T.V masing-masing untuk mendapatkan maklumat mutakhir mengenai kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa. Kejadian terbaharu ini memusnahkan 14 buah rumah banglo, meragut 5 nyawa dan mencederakan berbelas-belas penghuni yang lain. Manakala beribu-ribu penduduk yang lain terpaksa mengosongkan kediaman masing-masing. Lokasi kejadian malang ini terletak 1.5km dari lokasi tragedi blok Highland Towers yang tumbang pada 11 Disember 1993 dan mengorbankan 48 orang.

Sebenarnya aku sempat mengikuti kerja-kerja menyelamat semasa kejadian melibatkan Highland Towers kira-kira 15 tahun lalu kerana kejadian tersebut berlaku pada hari kedua aku terlantar di Hospital Besar Melaka selepas menjalani satu pembedahan kecil di situ. Jadi, peluang aku berehat di katil hospital digunakan sepenuhnya untuk mengikuti siaran langsung yang disiarkan di T.V ketika itu.

Dalam masa sebulan dua selepas peristiwa tersebut, berbagai pandangan dan komen dibuat oleh banyak pihak. Bertalu-talu cadangan dikemukakan. Bermacam-macam arahan dan garis panduan dibuat oleh pihak berkuasa. Malangnya rasa insaf itu sekejap sahaja singgah di dalam hati kita.

Apabila bulan berganti bulan, tahun berganti tahun - punca peristiwa malang itu seakan-akan dilupakan. Permohonan untuk memajukan kawasan berbukit kembali menerjah pintu pejabat Pihak Berkuasa. Aku berani katakan banyak permohonan yang diterima oleh Pihak Berkuasa berdasarkan kepada banyaknya projek pembangunan di kawasan berbukit. Mustahil kerja-kerja tersebut dibuat tanpa kelulusan. Pihak yang tamak haloba untuk mengaut keuntungan hasil dari projek di kawasan berbukit ini sanggup melakukan apa sahaja. Permohonan pasti disertakan dengan berjela-jela laporan teknikal dan berkajang-kajang surat sokongan. Akhirnya apabila memenuhi syarat yang ditetapkan, maka permohonan diluluskan.

Kejadian-kejadian tanah runtuh sehingga mengorbankan nyawa ini mengingatkan aku kepada buku berjudul The Malay Dilemma. Namun dalam konteks rakyat Malaysia, aku rasa sepatutnya ada sebuah buku lain yang berjudul The Malaysian Dilemma. - Jothmen

Sumber foto - Utusan Malaysia

Senyum Simpul


Sekiranya entry terdahulu aku mengutarakan satu simpulan bahasa, namun kali ini aku tidak bercadang untuk menulis mengenai simpulan bahasa lagi walaupun ada idea dan permintaan dari pembaca. Malah ada pembaca yang mengesyorkan topiknya sekali namun aku masih waras untuk membuat pertimbangan. Mungkin lain kali aku akan muncul lagi dengan entry yang panas begitu dan dengan mengambil kira topik yang disyorkan tersebut.

Entry aku kali ini bertajuk 'Senyum Simpul'. Sengaja aku pilih topik ini untuk 'meringankan' kembali blog aku yang sejak akhir-akhir ini terbabas kepada isu-isu yang agak panas walaupun aku cuba 'melembutkannya' dengan olahan ayat aku sendiri.

'Senyum Simpul' bukanlah simpulan bahasa tapi aku rasa ianya adalah satu kata ganda - agaknya lah. Kalau ada guru BM atau bekas guru BM yang membaca entry ini, bolehlah betulkan fakta tersebut sekiranya aku tersilap. Senyum simpul seseorang itu mampu merobek dan mencairkan hati orang lain yang melihatnya. Lihat sahaja foto model cilik di dalam entry ini. Lirikan mata dan ukiran senyumnya pasti menggoda hati setiap orang yang melihatnya. Hmmmm...mungkinkah ukiran senyum begitu yang dikatakan 'Senyum Simpul'? - Jothmen.