Tanah Runtuh


Pagi Sabtu (6 Disember 2008) sekali lagi rakyat Malaysia terpaku di hadapan kaca T.V masing-masing untuk mendapatkan maklumat mutakhir mengenai kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa. Kejadian terbaharu ini memusnahkan 14 buah rumah banglo, meragut 5 nyawa dan mencederakan berbelas-belas penghuni yang lain. Manakala beribu-ribu penduduk yang lain terpaksa mengosongkan kediaman masing-masing. Lokasi kejadian malang ini terletak 1.5km dari lokasi tragedi blok Highland Towers yang tumbang pada 11 Disember 1993 dan mengorbankan 48 orang.

Sebenarnya aku sempat mengikuti kerja-kerja menyelamat semasa kejadian melibatkan Highland Towers kira-kira 15 tahun lalu kerana kejadian tersebut berlaku pada hari kedua aku terlantar di Hospital Besar Melaka selepas menjalani satu pembedahan kecil di situ. Jadi, peluang aku berehat di katil hospital digunakan sepenuhnya untuk mengikuti siaran langsung yang disiarkan di T.V ketika itu.

Dalam masa sebulan dua selepas peristiwa tersebut, berbagai pandangan dan komen dibuat oleh banyak pihak. Bertalu-talu cadangan dikemukakan. Bermacam-macam arahan dan garis panduan dibuat oleh pihak berkuasa. Malangnya rasa insaf itu sekejap sahaja singgah di dalam hati kita.

Apabila bulan berganti bulan, tahun berganti tahun - punca peristiwa malang itu seakan-akan dilupakan. Permohonan untuk memajukan kawasan berbukit kembali menerjah pintu pejabat Pihak Berkuasa. Aku berani katakan banyak permohonan yang diterima oleh Pihak Berkuasa berdasarkan kepada banyaknya projek pembangunan di kawasan berbukit. Mustahil kerja-kerja tersebut dibuat tanpa kelulusan. Pihak yang tamak haloba untuk mengaut keuntungan hasil dari projek di kawasan berbukit ini sanggup melakukan apa sahaja. Permohonan pasti disertakan dengan berjela-jela laporan teknikal dan berkajang-kajang surat sokongan. Akhirnya apabila memenuhi syarat yang ditetapkan, maka permohonan diluluskan.

Kejadian-kejadian tanah runtuh sehingga mengorbankan nyawa ini mengingatkan aku kepada buku berjudul The Malay Dilemma. Namun dalam konteks rakyat Malaysia, aku rasa sepatutnya ada sebuah buku lain yang berjudul The Malaysian Dilemma. - Jothmen

Sumber foto - Utusan Malaysia

1 comment:

Anonymous said...

ishh trok bebeno kjadian dia. .