1 Malaysia Menjana Transformasi

Istimewa untuk pengunjung LENSA KAMERA, aku ucapkan selamat menyambut hari kemerdekaan ke 53. Sudah 53 tahun negara mencapai kemerdekaan. Ucapan terima kasih dan penghargaan tidak terhingga kepada semua pejuang kemerdekaan, tidak kira walau bagaimanapun wadah perjuangan mereka suatu ketika dahulu. Namun matlamatnya tetap satu iaitu untuk membebaskan negara dari belenggu penjajah.

Sesudah 53 tahun merdeka, wadah perjuangan generasi kini dan akan datang sepatutnya adalah untuk mengisi kemerdekaan itu. Persoalannya adalah bagaimana untuk mengisi kemerdekaan? Sekiranya soalan itu ditanyakan kepada aku, maka jawapan klise aku adalah 'untuk mengisi kemerdekaan kita mesti tahu sejarah kemerdekaan itu'.

Sesudah 53 tahun merdeka, jati diri sebagai anak bangsa Malaysia masih belum terserlah dengan jitu dikalangan rakyat berbilang bangsa. Bicara pemimpin dari dulu hingga sekarang dalam aspek hubungan antara kaum adalah 'perpaduan'. Isunya sama ada berkesan atau tidak proses asimilasi kaum yang diterapkan selama ini? Aku percaya itulah persoalan yang kerap diulas pelbagai pihak bila menyentuh isu hubungan kaum di negara ini. Secara peribadi aku berpendapat proses itu berjaya walaupun tidak secara total, cuma pada masa hadapan ia perlu diperkukuh supaya lebih mantap. Pendapat peribadi ini berdasarkan senario hubungan kaum dari era awal kemerdekaan hingga kini.

Generasi dalam foto pada entry ini merupakan generasi anak merdeka yang akan mengisi dan menentukan hala tuju negara merdeka ini pada masa hadapan. Dikalangan generasi inilah akan lahir para ilmuan dan pemimpin masa hadapan. Generasi ini jugalah yang diharap akan dapat memantapkan jati diri bangsa Malaysia kelak disamping merapatkan lagi sedikit jurang yang sedia ada dan sekaligus menjadi lambang kepada kejayaan proses asimilasi kaum ala Malaysia. Itulah anak merdeka!!! - Jothmen

"1 MALAYSIA MENJANA TRANSFORMASI"

GANYANG !!!!

Kadang-kadang aku geli hati tidak terhingga dan ada kalanya marah yang teramat sangat melihatkan tindakan tidak bertamadun puak-puak yang hilang akal di Indonesia bagi apa sahaja isu yang melibatkan negara itu dengan Malaysia. Aku melihat tindakan tidak bertamadun ini sebagai lahir dari perasaan iri hati, sakit hati dan cemburu puak-puak ini dengan kejayaan dan kemakmuran yang sedang dan akan terus dikecapi Malaysia.

Puak-puak ini tentunya masih menebal dengan anggapan superiority Indonesia ke atas Malaysia ekoran susur galur sejarah dalam hubungan dua hala kedua-dua negara terutama di era sebelum dan awal kemerdekaan Malaysia. Pendek kata perasaan itu wujud kerana 'adik' ini yang pernah diganyang suatu ketika dulu (kononnya) telah mengorak langkah menjadi lebih baik dari 'abang'nya. Maka itu tidak hairanlah anggapan superiority yang masih menebal itu masih terbawa-bawa hingga kini malah dengan bongkaknya puak-puak ini masih mahu meneruskan ganyang mereka ke atas Malaysia.

Perkataan 'ganyang' memang mudah disebut tetapi mungkin puak-puak ini tidak didedahkan atau dikisahkan dengan sejelas-jelasnya nasib tentera malah komando mereka yang dihantar untuk menganyang Malaya suatu ketika dulu? Ada komando mereka yang merayu 'minta nyawa' dari orang yang hendak diganyangnya itu. Tanyalah para veteran kita yang mengetahui perkara ini.

Aku bukannya mahu mencurah petrol ke api tetapi di kala negara ibunda ini menyambut ulangtahun kemerdekaan, tindakan puak-puak ini amat mencabar jiwa raga aku sebagai anak watan Malaysia. Apa yang lebih menghairankan adalah pihak-pihak yang sepatutnya memainkan peranan untuk menjernihkan keadaan telah tidak berfungsi seperti sepatutnya. Seperti laporan akhbar tempatan, sesetengah media Indonesia amat ghairah mencanangkan apa sahaja isu yang melibatkan Malaysia/Indonesia bagi menyemarakkan perasaan marah puak-puak tidak bertamadun ini.

Umum mengetahui bahawa media mempunyai pengaruh yang amat kuat malah terbukti peranan media boleh menjatuhkan sebuah kerajaan sekalipun. Oleh itu selagi ada unsur-unsur sebegini di Indonesia termasuk sebilangan orang politik yang berkepentingan di sana maka selagi itulah puak-puak ini akan dapat menambahkan pengaruh malah pengikutnya. Aku tidak mahu mengulas panjang lebar kerana tahu had dan batasannya. Cukuplah untuk anak watan Malaysia menilai kewajaran perilaku golongan ini di sana.

Rumusan yang aku boleh buat berdasarkan kecetekan akal dan ilmu yang ada ini adalah Malaysia tidak kerugian apa-apapun hasil provokasi dan tindakan mahu menganyang Malaysia oleh puak-puak ini, baik dari segi sosial mahupun ekonomi. Fakta dan nombor boleh membuktikan kenyataan ini.

Sekurang-kurangnya aku bersyukur kerana walaupun provokasi puak-puak pressure group di Indonesia amat kuat tetapi rakan-rakan anak watan Malaysia tidak terikut-ikut dengan rentak bodoh dan tidak bertamadun itu. Itulah qualiti watan Malaysia berbanding Bendera di sana. - Jothmen

Generasi 'Y'

Foto dalam entry ini hanyalah gambar hiasan dan tidak menggambarkan Generasi 'Y' seperti paparan tajuk entry ini. Berdasarkan Wikipedia, Generation 'Y' atau Gen 'Y' (juga dirujuk sebagai Millenial Generation) adalah generasi yang lahir antara pertengahan tahun 1970 hingga awal tahun 2000. Manakala generasi yang lahir dari 2001 hingga 2010 dikenali sebagai Generasi 'Z'. Foto bayi dalam entry ini mewakili satu generasi yang cuba dicadangkan namanya oleh banyak pihak sebagai 'Generasi Alpha' iaitu generasi yang lahir mulai tahun 2010 - dalam erti kata lain generasi ini secara umumnya adalah anak kepada Gen 'Y'.

Dianggarkan lebih kurang 70 juta Gen 'Y' sedang berada dalam pasaran tenaga kerja di seluruh dunia. Generasi ini terutamanya yang lebih muda mempunyai pendekatan, pemikiran serta kehendak yang berbeza daripada generasi sebelumnya iaitu Baby Boomers dan Generation 'X' (sesetengah definisi menamakan generasi selepas Baby Boomers iaitu kelahiran antara 1961 hingga pertengahan 1970 sebagai Generasi 'X'). Secara perbandingannya, Gen 'Y' kurang memberi keutamaan kepada kemajuan kerjaya di satu-satu tempat kerja sebaliknya memburu kerja yang menawarkan fleksibiliti pembahagian masa antara pekerjaan, keluarga dan masa sendiri (personel) (work life balance). Bagi generasi ini, falsafah hidup mereka adalah mudah iaitu 'kerja untuk hidup, bukan hidup untuk kerja'.

Oleh itu tidak hairanlah kajian-kajian mendapati generasi ini menghadapi masalah kehadiran bertugas mengikut masa yang ditetapkan, baik dalam sektor awam mahupun swasta! Maka sesuai dengan kehendak mereka untuk mendapatkan work life balance, majikan yang ingin mempertahankan Gen 'Y' dalam sesuatu organisasi perlu mengkoordinasikan antara kepentingan majikan dan generasi ini, atau terpaksa kehilangan mereka. Ini adalah penting kerana kebiasaannya tempoh antara 3-5 tahun Gen 'Y' berada dalam sesuatu organisasi, mereka telah didedahkan dengan pelbagai latihan serta mempunyai kemahiran tertentu dan sekaligus merupakan modal insan yang sedang berkembang. Kehilangan mereka bermakna kehilangan modal insan yang amat berharga bagi sesebuah organisasi.

Tidak dinafikan bahawa kesenangan hidup dan kemajuan teknologi yang membentuk pemikiran dan kehendak Gen 'Y'. Kesenangan hidup tentu sekali merujuk kepada kejayaan hidup ibubapa mereka iaitu generasi Baby Boomers (dan juga Gen 'X'). Kemajuan teknologi termasuklah kemudahan internet dan kecanggihan alat komunikasi. Malah ada pendapat mengatakan generasi ini sebagai always-connected generation. Selalu menerima mesej peribadi dan mengakses facebook ketika bekerja serta lebih suka membaca emel berkaitan kerja melalui iPhone, Blackberry atau Treo pada waktu petang atau hujung minggu. Manakala Myspace, Facebook, Twitter, Flickr dan YouTube sudah menjadi begitu sinonim dengan generasi ini.

Ada kalanya aku terfikir apalah agaknya pendekatan, pemikiran serta kehendak dan kemajuan teknologi yang seiring dengan generasi bayi seperti dalam foto ini apabila mereka mula memasuki pasaran tenaga kerja pada era 2030an nanti. Emmm....tak terjangkau oleh pemikiran - Jothmen

Car Light Trails

Car Light Trails
Car Light Trails merupakan satu teknik fotografi yang boleh dihasilkan apabila kita memperlahankan kelajuan shutter yang sekaligus menampakkan imej jaluran cahaya yang memanjang. 

Foto dalam entry ini diambil menggunakan teknik slow shutter speed tersebut pada setting exposure 30 sec, aperture f22. 

Sebenarnya teknik yang sama juga boleh digunakan untuk star trails photography bagi memperlihatkan pergerakan bintang di langit yang tidak kelihatan pada mata kasar.  Namun begitu kelajuan shutter bagi star trails photography perlu diperlahankan lebih lama, malah ada sehingga 8-10 minit atau lebih.  Dengan cara ini kamera akan dapat merakam pergerakan bintang yang tidak kelihatan dengan mata kasar.  Menarik bukan?  Selain dari itu, kelajuan shutter yang diperlahankan ini juga boleh digunakan untuk light painting photography.

Aku akan cuba mendapatkan imej-imej yang menarik bagi kedua-dua teknik ini kerana ianya tidak boleh dihasilkan sembarangan.  Paling penting - persekitaran perlu gelap! - Jothmen

Masjid Selat

Masjid Selat
Ini adalah antara tempat tarikan baru di Melaka - Masjid Selat.  Terletak di Pulau Melaka dan setiap kali kunjungan aku  ke sini, pasti akan bertembung dengan pengunjung sama ada dari dalam atau luar Melaka. 

Namun bagitu kunjungan kali ini agak istimewa kerana pandangan arah hadapan masjid berlatarkan langit biru amat memikat untuk dikongsi bersama dengan pengunjung Lensa Kamera. 

Kebetulan ketika kunjungan kali ini, beberapa petugas masjid sedang sibuk membersihkan persekitaran kawasan masjid - persiapan menghadapi Ramadan agaknya....  Oleh itu gelagat pengunjung dengan kamera seperti aku ketika itu sudah tidak lagi menarik perhatian mereka.

Kedudukannya yang menghadap Selat Melaka dan sentiasa  menerima tiupan bayu laut  menjadikan kawasan Masjid Selat amat sesuai untuk bersantai.  Dua buah wakaf di kiri dan kanan masjid yang boleh digunakan oleh pengunjung untuk menikmati bayu laut dan keindahan masjid ini. Senibinanya berbentuk moorish architecture yang sekaligus berbeza dari rekabentuk masjid-masjid lain di Melaka.  Mungkin itu salah satu kelebihan masjid ini dan dengan siapnya Arab City bersebelahannya nanti, aku pasti Pulau Melaka akan berubah wajah dan menjadi lebih 'hidup'. - Jothmen


Periuk Kera (Naphentes Gracilis)

Napenthes Gracilis adalah nama saintifik Periuk Kera tempatan (spesis hutan). Foto ini diambil dari spesies Periuk Kera tempatan yang aku tanam sendiri di halaman rumah. Periuk Kera merupakan tanaman hiasan yang amat menarik terutama bila ia sudah matang dan mengeluarkan 'kantung' atau 'periuk' yang kekal agak lama sebelum kecut dan layu.

Foto ini dirakam sekitar jam 4 petang dengan bantuan sumber cahaya semulajadi (setting f5.6, exposure 1/30 sec dan white balance yang di set sendiri). Bagi menjadikan imej nampak lebih menarik dan menyerlah, aku gunakan sehelai kain warna gelap sebagai latar belakang yang dipegang oleh anak perempuan aku merangkap pembantu yang dikerah tenaganya setiap kali aku keluar shooting. Akhir sekali inilah hasil kerja aku bagi foto yang dirakam di hadapan pintu masuk rumah untuk tatapan mata semua pengunjung Lensakamera dan juga flickr. - Jothmen

Penghargaan Buat Semua

(Alya Nur Zahra - 1 bulan)
Hari ini genap sebulan kelahiran pra-matang Alya Nur Zahra. Walaupun masih di ICU tapi dia tidak lagi bergantung sepenuhnya pada bantuan mesin pernafasan.  Kini mampu diselang seli dengan keupayaan sendiri. Satu perkembangan yang amat positif bagi bayi 26 minggu @ 800 gram sepertinya.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada Pediatrician Datuk Dr. Ng Kock Chai dan semua Jururawat yang merawat dengan baik Alya Nur Zahra di ICU Putra Specialist Hospital.  Tidak lupa juga petugas keselamatan ICU PSH yang sentiasa memberi layanan istimewa kepada aku dan isteri setiap kali kunjungan kami ke situ.

Tidak terhingga juga ucapan terima kasih kepada semua rakan taulan yang menziarahi serta mendoakan kesejahteraan kami terutama Alya Nur Zahra. Budi baik, ingatan serta doa ikhlas anda semua akan tetap kami kenang selamanya.

Perhargaan yang teramat istimewa juga kepada majikan aku yang amat prihatin mengenai kebajikan pekerjanya malah turut membiayai sepenuhnya kos rawatan Alya Nur Zahra.  Dalam kes Alya Nur Zahra ini, aku masih ingat lagi antara kata-kata bos aku iaitu "jangan bimbang tentang kos, yang penting baby u mendapat rawatan yang terbaik".

Dan tatkala aku menatap salinan bil  bulan pertama bagi rawatan Alya Nur Zahra di ICU PSH, aku termenung sejenak dan terfikir sekiranya aku tidak bekerja dengan majikan prihatin  ini, tak mungkin aku mampu mendapatkan rawatan pakar yang terbaik untuk Alya Nur Zahra seperti di sini. - Jothmen

Alya Nur Zahra

Alhamdulillah .... dengan izinNya dia hadir lebih awal.... juga diluar jangkaan.

Hari ketiga dan keadaan masih tak stabil. Kurang aktif tidak seperti hari sebelumnya. Penjelasan semua orang yang merawat - jantung lemah berbanding sebelumnya dan dua tiga sebab lain. Itu penjelasan yang diberi..... Aku juga pantau skrin komputer.... semua bacaan nombor jelas dipapar, turun dan naik....memang nampak tidak stabil, dan paparan bacaan yang lebih rendah dari hari sebelumnya. Mungkin juga benar penjelasan yang diberi.

Aku paksa diri untuk faham dengan cepat semua fungsi alat bantuan yang ada.... dan juga bacaan di skrin komputer supaya tahu semua perkembangan yang berlaku. Kebolehan memahami fungsi semua alat bantuan dan 'membaca' paparan di skrin.... walau dalam masa singkat mendapat penerangan doktor, agak mengkagumkan semua pihak yang merawat.

(Alya Nur Zahra - 3 hari)
Itulah....benar kata orang ....jika terdesak, kita pasti lakukan sendiri.....setakat yang termampu. Bukan tak yakin dangan bantuan yang diberi tapi lebih puas rasanya jika faham keadaan atas kemampuan sendiri. Jothmen

Pulau Besar, Melaka

Foto yang dipaparkan dalam entry ini aku ambil semasa kunjungan ke Pulau Besar, Melaka baru-baru ini. Sebenarnya Pulau Besar adalah sebuah pulau yang agak menarik untuk dikunjungi. Terdapat kawasan pantai yang cantik dan amat sesuai untuk aktiviti mandi manda kerana arus yang tidak kuat. Namun begitu nampaknya keunikan pulau ini seolah-olah tidak (atau masih belum?) dieksploitasi sepenuhnya sebagai daya tarikan yang menguntungkan.

Buat masa ini kalau disebut Pulau Besar, pasti ramai yang tertanya-tanya dimana letaknya pulau itu. Kewujudannya seolah-olah tenggelam disebalik kehebatan pulau-pulau lain yang lebih tersohor di Malaysia.

Sekiranya di tanah besar Melaka terdapat berbagai-bagai tarikan, mengapa tidak pulau yang indah dan kaya dengan pemandangan semulajadi ini dibangunkan sebagai salah satu tarikan baru di Melaka? Aku rasa banyak fakta termasuk yang didakwa bersandarkan unjuran sejarah dan faktor geografi yang akan menyebelahi pulau ini. Umpamanya kedudukan yang tidak jauh dari tanah besar, hanya 10 hingga 15 minit perjalanan menggunakan bot penumpang dari Jeti Anjung Batu, Umbai.

Aku juga faham 'situasi' di Pulau Besar yang mungkin membantutkan usaha ini tetapi sekiranya usaha pembangunan dan promosi yang tidak keterlaluan dan dalam ruang lingkup yang dibenarkan sama ada oleh budaya dan agama, pasti Pulau Besar akan disebut-sebut orang apabila bercerita mengenai Melaka.

Sebaliknya jika Pulau Besar dibiarkan dalam keadaan seperti sekarang, aku bimbang anasir lain yang akan mendominasi kewujudan Pulau Besar. Maknanya, orang akan tetap juga menyebut Pulau Besar tetapi ianya dikaitkan dengan aktiviti tidak sihat tersebut. Wallahu'aqlam - Jothmen

Lagi foto Pulau Besar di sini

Subsidi Petrol

Hasrat kerajaan mengkaji semula mekanisma pemberian subsidi petrol bagi warganegara dan bukan warganegara amat dialu-alukan. Sememangnya kita amat mengharapkan kerajaan dapat mengagihkan kekayaan atau bantuan sama rata dikalangan warganegara. Malah kita amat cemburu dan sakit hati melihat bukan wargenagara menikmati bantuan yang sepatutnya untuk rakyat negara ini.

Namun begitu ura-ura kerajaan hendak mengambil kira kapasiti enjin kenderaan dalam pemberian subsidi petrol ini mampu mencetuskan ketidakpuasan hati sekali lagi dikalangan warganegara. Rata-rata rakyat Malaysia masih merasai 'layanan tidak adil' pemberian subsidi dalam bentuk rebet bayaran cukai jalan sedikit masa dulu.

Rasional keresahan rakyat dapat digambarkan seperti berikut. Subsidi petrol bertujuan untuk membantu rakyat berpendapatan rendah. Sungguhpun begitu sekiranya pemberian subsidi petrol hanya berdasarkan kapasiti enjin kenderaan semata-mata, maka aku yakin golongan 'berada' yang akan meraih keuntungannya. Sebaliknya golongan berpendapatan sederhana tidak dapat langsung mencium keistemewaan ini.
Kita ambil contoh, orang yang agak 'berada' sudah tentu mampu membeli dan memandu Mercedes Benz atau BMW yang berharga lebih RM250,000 tetapi kapasiti enjin kurang dari 2 liter. Sebaliknya golongan dengan pendapatan sederhana dan rendah hanya mampu menggunakan Naza Ria yang berharga antara RM65,000.00 hingga RM100,000.00 tetapi kapasiti enjin 2.5 liter. Sekiranya kapasiti enjin yang menjadi kriteria pemberian subsidi petrol, agak-agak korang la, sapa yang untung?

Aku tidak menentang sepenuhnya kapasiti enjin sebagai asas pemberian subsidi petrol tetapi kaedahnya mesti dibuat dengan betul dan jelas. Jika benar hasrat kerajaan hendak membantu golongan berpendapatan rendah maka pengkelasan kapasiti enjin mesti dibuat mengikut kaedah berikut, iaitu sehingga 1 liter dan lebih 1 liter. Kalau pengkelasan kapasiti enjin kenderaan seperti ini digunakan, maka barulah hasrat kerajaan untuk membantu golongan berpendapatan rendah akan tercapai. - Jothmen