1 Malaysia Menjana Transformasi

Istimewa untuk pengunjung LENSA KAMERA, aku ucapkan selamat menyambut hari kemerdekaan ke 53. Sudah 53 tahun negara mencapai kemerdekaan. Ucapan terima kasih dan penghargaan tidak terhingga kepada semua pejuang kemerdekaan, tidak kira walau bagaimanapun wadah perjuangan mereka suatu ketika dahulu. Namun matlamatnya tetap satu iaitu untuk membebaskan negara dari belenggu penjajah.

Sesudah 53 tahun merdeka, wadah perjuangan generasi kini dan akan datang sepatutnya adalah untuk mengisi kemerdekaan itu. Persoalannya adalah bagaimana untuk mengisi kemerdekaan? Sekiranya soalan itu ditanyakan kepada aku, maka jawapan klise aku adalah 'untuk mengisi kemerdekaan kita mesti tahu sejarah kemerdekaan itu'.

Sesudah 53 tahun merdeka, jati diri sebagai anak bangsa Malaysia masih belum terserlah dengan jitu dikalangan rakyat berbilang bangsa. Bicara pemimpin dari dulu hingga sekarang dalam aspek hubungan antara kaum adalah 'perpaduan'. Isunya sama ada berkesan atau tidak proses asimilasi kaum yang diterapkan selama ini? Aku percaya itulah persoalan yang kerap diulas pelbagai pihak bila menyentuh isu hubungan kaum di negara ini. Secara peribadi aku berpendapat proses itu berjaya walaupun tidak secara total, cuma pada masa hadapan ia perlu diperkukuh supaya lebih mantap. Pendapat peribadi ini berdasarkan senario hubungan kaum dari era awal kemerdekaan hingga kini.

Generasi dalam foto pada entry ini merupakan generasi anak merdeka yang akan mengisi dan menentukan hala tuju negara merdeka ini pada masa hadapan. Dikalangan generasi inilah akan lahir para ilmuan dan pemimpin masa hadapan. Generasi ini jugalah yang diharap akan dapat memantapkan jati diri bangsa Malaysia kelak disamping merapatkan lagi sedikit jurang yang sedia ada dan sekaligus menjadi lambang kepada kejayaan proses asimilasi kaum ala Malaysia. Itulah anak merdeka!!! - Jothmen

"1 MALAYSIA MENJANA TRANSFORMASI"

No comments: