Berbeza Perspektif


Anda tentu perasan tagline Lensa Kamera yang berbunyi 'Pandangan Menerusi Lensa kamera Memberi Perspektif Yang Berbeza Dari Pandangan Mata.  Adakala Tidak Terungkap Dengan Kata-Kata, Adakala Lebih Indah Dari Seribu Bahasa'.

Foto-foto dalam entry ini mungkin boleh menjelaskan maksud tagline itu.

Ketika balik bercuti di kampung baru-baru ini aku mengambil kesempatan meninjau-ninjau sekitar kawasan  rumah bagi mencari makhluk-makhluk 'halus' untuk dijadikan sasaran lensa kamera aku.  Serangga-serangga kecil ini mungkin tidak menarik perhatian pada pandangan mata kasar tetapi tanpa kita sedari sebenarnya mereka dicipta sebagai makhluk yang menarik, sama ada pada kombinasi warna atau penampilan.  Sebagai makhluk yang amat kecil, kajian mengatakan bahawa kombinasi warna atau penampilan itu amat penting  sebagai satu teknik pertahanan diri.

Umpamanya serangga di atas yang jika dilihat dengan mata kasar, tiada apa yang istimewa dan menarik padanya. Ia hanya serangga kecil yang amat biasa ditemui di kawasan kampung.  Kemungkinan sarang berwarna putih pada daun cempedak itu menempatkan telurnya.  Namun bersenjatakan SP90 f2.8, imej yang dihasilkan  telah menjangkaui pandangan mata kasar.  Ketika melihatnya mengawal sarang, aku tidak nampak dan tidak menyedari terdapat 'duri-duri' pada kakinya dan jaluran menarik pada badannya sehinggalah selepas foto ini diambil. Dengan warna dan penampilan diri sebegini sudah tentu serangga kecil ini kelihatan amat menakutkan pada pandangan serangga lain.
                                                                                                 
Begitu juga dengan serangga ini yang aku temui sedang bersantai pada  sehelai daun mangga.  Kenyang agaknya. Inilah rupa bahagian kepala seekor lalat yang amat biasa kita temui.

Manakala imej terakhir dalam entry ini pula adalah titisan embun pada batang buluh madu. Apa yang menarik pada foto ini  adalah imej rumah kampung aku yang kelihatan pada titisan embun tersebut.   Walaupun foto ini dirakam sekitar jam 8.00 pagi tetapi rimbunan buluh madu tersebut dan pokok-pokok disekelilingnya telah menghalang pancaran terus cahaya matahari dan sekaligus mengekalkan banyak titisan embun untuk aku rakamkan...Jothmen

Terbakar Selepas Kemalangan: Dimana Silapnya...

Sejak kebelakangan ini amat kerap kita mendapat berita kebakaran kenderaan yang terlibat dalam kemalangan jalanraya.  Hampir setiap minggu terdapat kejadian mengenainya.  Kenapa terjadi begitu?  Kenapa sebelum ini amat jarang terjadinya kejadian kenderaan terbakar selepas terlibat dalam kemalangan?

Aku tidak arif mengenai isu teknikal kenderaan mahupun unsur-unsur yang terdapat dalam bahan api yang kita isi ke dalam tangki kenderaan.  Walau apapun, setiap kejadian mesti ada penyebabnya apatah lagi jika ianya terlalu kerap berlaku!!.

Sekiranya bilangan kemalangan jalanraya di negara kita dikatakan yang tertinggi di dunia, maka antara penyebabnya adalah sikap pemandu kita apabila berada di jalanraya.  Itulah yang sering dimomokkan kepada kita.  Sebaliknya jika berlaku kebakaran kenderaan yang terlibat dalam kemalangan, adakah kita masih merujuk kejadian kebakaran kenderaan itu sebagai berpunca daripada sikap pemandu?  Mungkin suku darinya betul iaitu sikap pemandu yang menyebabkan kemalangan tetapi adakah pemandu itu juga yang mencetuskan api kebakaran?  Aku rasa tentu sekali tidak.

Satu perkara yang terlintas dalam benak aku adakah ianya berpunca dari bahan api yang dituang ke dalam tangki kenderaan kita.  Memang tidak disangkal bahan api itu adalah bahan bakar dan bahan api itulah yang memarakkan api kebakaran.  Isunya adalah kenapa 10 - 15 tahun lalu bahan api ini tidak (atau kurang) mencetuskan kebakaran kenderaan yang terlibat dalam kemalangan.  Kadar kemalangan jalanraya juga tinggi ketika itu!!

Dalam kedaifan mengenai ilmu bahan api ini, aku maklum bahawa petrol di negara ini mengandungi kandungan octane yang tinggi.   Pada masa sekarang petrol di Malaysia dijual dalam 2 kategori iaitu RON 95 dan RON 97.  Sedangkan di Indonesia kandungan octane paling tinggi hanyalah RON 95.  Manakala di India, mereka masih lagi menggunakan RON 89 dan RON 91.  Petrol premium adalah petrol biasa yang ditambah additive dan tidak mengubah kandungan octane.  Di Barat/Eropah pula, ada negara yang telahpun menggunakan RON 100.  Itu senario di Barat/Eropah yang rata-ratanya beriklim sejuk.  Bagaimana pula dengan negara dalam kawasan panas seperti di sini?

Mungkin aku silap....tetapi tak salah rasanya jika pihak yang mahir dalam perkara ini menjelaskan kepada masyarakat mengenai octane atau additive lain dalam petrol supaya masyarakat tidak  terus menuding jari kepada petrol yang dijual di Malaysia sebagai penyebab kebakaran kenderaan yang terlibat dalam kemalangan.

Seperti kenyataan aku di awal tadi iaitu setiap kejadian mesti ada penyebabnya apatah lagi jika ianya terlalu kerap berlaku....- Jothmen