Melaka Maju 2010

Tahniah kepada semua penduduk Melaka yang kini bergelar negeri maju. Setinggi tahniah juga kepada semua pemimpin negeri Melaka yang mencetuskan wawasan menjadikan Melaka berstatus negeri maju, terutama wawasan pemimpin negeri ini 10 tahun lalu yang turut disokong oleh jentera pentadbiran negeri dan telah berjaya menghadapi cabaran untuk memenuhi impian itu. Bagi tempoh 10 tahun akan datang, kita tunggu pula bagaimana Melaka mengharungi cabaran untuk menjadi negeri Bandar Teknologi Hijau yang pertama di Malaysia.

Sebenarnya dalam konteks Malaysia, status 'maju' merupakan wawasan semua kerajaan negeri. Memang mudah memasang impian dan mencetuskan wawasan untuk mencapai status negeri maju. Namun begitu, kenyataannya adalah berapa ramai pemimpin negeri lain yang terpaksa melupakan impian itu dan akur kepada realiti atau dalam lain perkataan 'impian tidak menjadi kenyataan'. Senario sebegini banyak terjadi termasuk di negeri kelahiran aku, yang suatu masa dahulu pernah mewar-warkan wawasan untuk menjadi negeri maju pada 2010 tetapi kini telah menukar wawasan untuk hanya menjadi sebuah Negeri Sejahtera!!

Mencapai status negeri maju bukan hanya sekadar satu barisan perkataan yang terpampang pada papan iklan besar di tepi jalan tetapi lebih dari itu ia memerlukan komitmen jitu kepimpinan negeri itu sendiri. Sememangnya aku kagum dengan prestasi negeri Melaka yang berjaya memenuhi 29 daripada 32 indikator yang ditetapkan sebagai kriteria untuk diiktiraf negeri maju. Sementelahan, pengiktirafan itu diberikan oleh pihak luar dan tentu sekali Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) yang berpangkalan di Paris melihat pencapaian Melaka telah memenuhi kriteria yang ditetapkan itu. Malah apa yang lebih membanggakan adalah apabila terdapat di antara 29 indikator tersebut yang pencapaiannya lebih baik dari negara maju.

Apa yang paling penting dalam episod ini adalah inisiatif pemimpinnya ke arah menjadikan Melaka negeri paling bersih di Malaysia melalui pendekatan "MENCARI SAMPAH DAN BUKANNYA MENGUTIP SAMPAH".

Pendekatan ini sebenarnya menuntut perubahan minda yang merubah sama sekali pendekatan Pihak Berkuasa Tempatan dalam aspek pengurusan sampah di peringkat pertengahan. 'Mengutip sampah' membawa konotasi bahawa hanya sampah sarap yang kelihatan pada pandangan mata (atau yang dikumpul) sahaja akan dipungut untuk dilupuskan. Sebaliknya 'mencari sampah' membawa konotasi yang jauh lebih mendalam dan ianya meliputi perbuatan mencari dan mengutip sampah sarap yang tersorok untuk dilupuskan!

Sekiranya pendekatan ini turut diamalkan oleh semua kepimpinan negeri lain di Malaysia, nescaya Malaysia pasti dapat menandingi negara jiran, sekurang-kurangnya dalam aspek kebersihan. - Jothmen

Kenyang

Gendang Gendut Tali Kecapi
Kenyang Perut Suka Hati

Petikan di atas merupakan peribahasa Melayu untuk mengambarkan betapa perut yang kenyang mampu mempengaruhi wajah seseorang. Umpama foto bayi dalam entry ini yang ketawa riang ria, dan tentu sekali setelah perutnya kenyang!!

Peribahasa tersebut mencetuskan ilham dalam tulisan ini memandangkan sebulan dua kebelakangan ini, terutama Syawal, kita amat mewah dihidangkan dengan makanan sekaligus membuatkan perut sentiasa kenyang! Walaupun Syawal telah berlalu tetapi sehingga 2 Zulkaedah 1431H aku masih lagi menerima jemputan jamuan makan walaupun bukan atas nama Aidilfitri atau jemputan kahwin. Terima kasih dan semoga terus dimurahkan rezeki kepada semua rakan taulan yang menjemput.

Namun begitu pernahkan kita terfikir bagaimana rupa wajah-wajah yang perutnya kosong, umpama wajah saudara kita terutama anak-anak kecil di Pakistan yang dilanda musibah pada Ramadan lepas dan yang tidak cukup makanan atau belum menjamah makanan ketika kita sedang menjamu selera? Begitu juga wajah saudara kita di Gaza dan di serata pelusuk dunia yang serba serbi kekurangan terutama makanan! Maka itu tidak hairahlah ada yang sanggup melakukan kesalahan, baik kesalahan jenayah ataupun kesalahan moral kerana keperluan kepada makanan.

Sesungguhnya aku bersyukur dengan nikmat yang tidak ternilai di bumi bertuah ini.... - Jothmen