1 Malaysia Menjana Transformasi

Istimewa untuk pengunjung LENSA KAMERA, aku ucapkan selamat menyambut hari kemerdekaan ke 53. Sudah 53 tahun negara mencapai kemerdekaan. Ucapan terima kasih dan penghargaan tidak terhingga kepada semua pejuang kemerdekaan, tidak kira walau bagaimanapun wadah perjuangan mereka suatu ketika dahulu. Namun matlamatnya tetap satu iaitu untuk membebaskan negara dari belenggu penjajah.

Sesudah 53 tahun merdeka, wadah perjuangan generasi kini dan akan datang sepatutnya adalah untuk mengisi kemerdekaan itu. Persoalannya adalah bagaimana untuk mengisi kemerdekaan? Sekiranya soalan itu ditanyakan kepada aku, maka jawapan klise aku adalah 'untuk mengisi kemerdekaan kita mesti tahu sejarah kemerdekaan itu'.

Sesudah 53 tahun merdeka, jati diri sebagai anak bangsa Malaysia masih belum terserlah dengan jitu dikalangan rakyat berbilang bangsa. Bicara pemimpin dari dulu hingga sekarang dalam aspek hubungan antara kaum adalah 'perpaduan'. Isunya sama ada berkesan atau tidak proses asimilasi kaum yang diterapkan selama ini? Aku percaya itulah persoalan yang kerap diulas pelbagai pihak bila menyentuh isu hubungan kaum di negara ini. Secara peribadi aku berpendapat proses itu berjaya walaupun tidak secara total, cuma pada masa hadapan ia perlu diperkukuh supaya lebih mantap. Pendapat peribadi ini berdasarkan senario hubungan kaum dari era awal kemerdekaan hingga kini.

Generasi dalam foto pada entry ini merupakan generasi anak merdeka yang akan mengisi dan menentukan hala tuju negara merdeka ini pada masa hadapan. Dikalangan generasi inilah akan lahir para ilmuan dan pemimpin masa hadapan. Generasi ini jugalah yang diharap akan dapat memantapkan jati diri bangsa Malaysia kelak disamping merapatkan lagi sedikit jurang yang sedia ada dan sekaligus menjadi lambang kepada kejayaan proses asimilasi kaum ala Malaysia. Itulah anak merdeka!!! - Jothmen

"1 MALAYSIA MENJANA TRANSFORMASI"

GANYANG !!!!

Kadang-kadang aku geli hati tidak terhingga dan ada kalanya marah yang teramat sangat melihatkan tindakan tidak bertamadun puak-puak yang hilang akal di Indonesia bagi apa sahaja isu yang melibatkan negara itu dengan Malaysia. Aku melihat tindakan tidak bertamadun ini sebagai lahir dari perasaan iri hati, sakit hati dan cemburu puak-puak ini dengan kejayaan dan kemakmuran yang sedang dan akan terus dikecapi Malaysia.

Puak-puak ini tentunya masih menebal dengan anggapan superiority Indonesia ke atas Malaysia ekoran susur galur sejarah dalam hubungan dua hala kedua-dua negara terutama di era sebelum dan awal kemerdekaan Malaysia. Pendek kata perasaan itu wujud kerana 'adik' ini yang pernah diganyang suatu ketika dulu (kononnya) telah mengorak langkah menjadi lebih baik dari 'abang'nya. Maka itu tidak hairanlah anggapan superiority yang masih menebal itu masih terbawa-bawa hingga kini malah dengan bongkaknya puak-puak ini masih mahu meneruskan ganyang mereka ke atas Malaysia.

Perkataan 'ganyang' memang mudah disebut tetapi mungkin puak-puak ini tidak didedahkan atau dikisahkan dengan sejelas-jelasnya nasib tentera malah komando mereka yang dihantar untuk menganyang Malaya suatu ketika dulu? Ada komando mereka yang merayu 'minta nyawa' dari orang yang hendak diganyangnya itu. Tanyalah para veteran kita yang mengetahui perkara ini.

Aku bukannya mahu mencurah petrol ke api tetapi di kala negara ibunda ini menyambut ulangtahun kemerdekaan, tindakan puak-puak ini amat mencabar jiwa raga aku sebagai anak watan Malaysia. Apa yang lebih menghairankan adalah pihak-pihak yang sepatutnya memainkan peranan untuk menjernihkan keadaan telah tidak berfungsi seperti sepatutnya. Seperti laporan akhbar tempatan, sesetengah media Indonesia amat ghairah mencanangkan apa sahaja isu yang melibatkan Malaysia/Indonesia bagi menyemarakkan perasaan marah puak-puak tidak bertamadun ini.

Umum mengetahui bahawa media mempunyai pengaruh yang amat kuat malah terbukti peranan media boleh menjatuhkan sebuah kerajaan sekalipun. Oleh itu selagi ada unsur-unsur sebegini di Indonesia termasuk sebilangan orang politik yang berkepentingan di sana maka selagi itulah puak-puak ini akan dapat menambahkan pengaruh malah pengikutnya. Aku tidak mahu mengulas panjang lebar kerana tahu had dan batasannya. Cukuplah untuk anak watan Malaysia menilai kewajaran perilaku golongan ini di sana.

Rumusan yang aku boleh buat berdasarkan kecetekan akal dan ilmu yang ada ini adalah Malaysia tidak kerugian apa-apapun hasil provokasi dan tindakan mahu menganyang Malaysia oleh puak-puak ini, baik dari segi sosial mahupun ekonomi. Fakta dan nombor boleh membuktikan kenyataan ini.

Sekurang-kurangnya aku bersyukur kerana walaupun provokasi puak-puak pressure group di Indonesia amat kuat tetapi rakan-rakan anak watan Malaysia tidak terikut-ikut dengan rentak bodoh dan tidak bertamadun itu. Itulah qualiti watan Malaysia berbanding Bendera di sana. - Jothmen

Generasi 'Y'

Foto dalam entry ini hanyalah gambar hiasan dan tidak menggambarkan Generasi 'Y' seperti paparan tajuk entry ini. Berdasarkan Wikipedia, Generation 'Y' atau Gen 'Y' (juga dirujuk sebagai Millenial Generation) adalah generasi yang lahir antara pertengahan tahun 1970 hingga awal tahun 2000. Manakala generasi yang lahir dari 2001 hingga 2010 dikenali sebagai Generasi 'Z'. Foto bayi dalam entry ini mewakili satu generasi yang cuba dicadangkan namanya oleh banyak pihak sebagai 'Generasi Alpha' iaitu generasi yang lahir mulai tahun 2010 - dalam erti kata lain generasi ini secara umumnya adalah anak kepada Gen 'Y'.

Dianggarkan lebih kurang 70 juta Gen 'Y' sedang berada dalam pasaran tenaga kerja di seluruh dunia. Generasi ini terutamanya yang lebih muda mempunyai pendekatan, pemikiran serta kehendak yang berbeza daripada generasi sebelumnya iaitu Baby Boomers dan Generation 'X' (sesetengah definisi menamakan generasi selepas Baby Boomers iaitu kelahiran antara 1961 hingga pertengahan 1970 sebagai Generasi 'X'). Secara perbandingannya, Gen 'Y' kurang memberi keutamaan kepada kemajuan kerjaya di satu-satu tempat kerja sebaliknya memburu kerja yang menawarkan fleksibiliti pembahagian masa antara pekerjaan, keluarga dan masa sendiri (personel) (work life balance). Bagi generasi ini, falsafah hidup mereka adalah mudah iaitu 'kerja untuk hidup, bukan hidup untuk kerja'.

Oleh itu tidak hairanlah kajian-kajian mendapati generasi ini menghadapi masalah kehadiran bertugas mengikut masa yang ditetapkan, baik dalam sektor awam mahupun swasta! Maka sesuai dengan kehendak mereka untuk mendapatkan work life balance, majikan yang ingin mempertahankan Gen 'Y' dalam sesuatu organisasi perlu mengkoordinasikan antara kepentingan majikan dan generasi ini, atau terpaksa kehilangan mereka. Ini adalah penting kerana kebiasaannya tempoh antara 3-5 tahun Gen 'Y' berada dalam sesuatu organisasi, mereka telah didedahkan dengan pelbagai latihan serta mempunyai kemahiran tertentu dan sekaligus merupakan modal insan yang sedang berkembang. Kehilangan mereka bermakna kehilangan modal insan yang amat berharga bagi sesebuah organisasi.

Tidak dinafikan bahawa kesenangan hidup dan kemajuan teknologi yang membentuk pemikiran dan kehendak Gen 'Y'. Kesenangan hidup tentu sekali merujuk kepada kejayaan hidup ibubapa mereka iaitu generasi Baby Boomers (dan juga Gen 'X'). Kemajuan teknologi termasuklah kemudahan internet dan kecanggihan alat komunikasi. Malah ada pendapat mengatakan generasi ini sebagai always-connected generation. Selalu menerima mesej peribadi dan mengakses facebook ketika bekerja serta lebih suka membaca emel berkaitan kerja melalui iPhone, Blackberry atau Treo pada waktu petang atau hujung minggu. Manakala Myspace, Facebook, Twitter, Flickr dan YouTube sudah menjadi begitu sinonim dengan generasi ini.

Ada kalanya aku terfikir apalah agaknya pendekatan, pemikiran serta kehendak dan kemajuan teknologi yang seiring dengan generasi bayi seperti dalam foto ini apabila mereka mula memasuki pasaran tenaga kerja pada era 2030an nanti. Emmm....tak terjangkau oleh pemikiran - Jothmen