Pulau Besar, Melaka

Foto yang dipaparkan dalam entry ini aku ambil semasa kunjungan ke Pulau Besar, Melaka baru-baru ini. Sebenarnya Pulau Besar adalah sebuah pulau yang agak menarik untuk dikunjungi. Terdapat kawasan pantai yang cantik dan amat sesuai untuk aktiviti mandi manda kerana arus yang tidak kuat. Namun begitu nampaknya keunikan pulau ini seolah-olah tidak (atau masih belum?) dieksploitasi sepenuhnya sebagai daya tarikan yang menguntungkan.

Buat masa ini kalau disebut Pulau Besar, pasti ramai yang tertanya-tanya dimana letaknya pulau itu. Kewujudannya seolah-olah tenggelam disebalik kehebatan pulau-pulau lain yang lebih tersohor di Malaysia.

Sekiranya di tanah besar Melaka terdapat berbagai-bagai tarikan, mengapa tidak pulau yang indah dan kaya dengan pemandangan semulajadi ini dibangunkan sebagai salah satu tarikan baru di Melaka? Aku rasa banyak fakta termasuk yang didakwa bersandarkan unjuran sejarah dan faktor geografi yang akan menyebelahi pulau ini. Umpamanya kedudukan yang tidak jauh dari tanah besar, hanya 10 hingga 15 minit perjalanan menggunakan bot penumpang dari Jeti Anjung Batu, Umbai.

Aku juga faham 'situasi' di Pulau Besar yang mungkin membantutkan usaha ini tetapi sekiranya usaha pembangunan dan promosi yang tidak keterlaluan dan dalam ruang lingkup yang dibenarkan sama ada oleh budaya dan agama, pasti Pulau Besar akan disebut-sebut orang apabila bercerita mengenai Melaka.

Sebaliknya jika Pulau Besar dibiarkan dalam keadaan seperti sekarang, aku bimbang anasir lain yang akan mendominasi kewujudan Pulau Besar. Maknanya, orang akan tetap juga menyebut Pulau Besar tetapi ianya dikaitkan dengan aktiviti tidak sihat tersebut. Wallahu'aqlam - Jothmen

Lagi foto Pulau Besar di sini

Subsidi Petrol

Hasrat kerajaan mengkaji semula mekanisma pemberian subsidi petrol bagi warganegara dan bukan warganegara amat dialu-alukan. Sememangnya kita amat mengharapkan kerajaan dapat mengagihkan kekayaan atau bantuan sama rata dikalangan warganegara. Malah kita amat cemburu dan sakit hati melihat bukan wargenagara menikmati bantuan yang sepatutnya untuk rakyat negara ini.

Namun begitu ura-ura kerajaan hendak mengambil kira kapasiti enjin kenderaan dalam pemberian subsidi petrol ini mampu mencetuskan ketidakpuasan hati sekali lagi dikalangan warganegara. Rata-rata rakyat Malaysia masih merasai 'layanan tidak adil' pemberian subsidi dalam bentuk rebet bayaran cukai jalan sedikit masa dulu.

Rasional keresahan rakyat dapat digambarkan seperti berikut. Subsidi petrol bertujuan untuk membantu rakyat berpendapatan rendah. Sungguhpun begitu sekiranya pemberian subsidi petrol hanya berdasarkan kapasiti enjin kenderaan semata-mata, maka aku yakin golongan 'berada' yang akan meraih keuntungannya. Sebaliknya golongan berpendapatan sederhana tidak dapat langsung mencium keistemewaan ini.
Kita ambil contoh, orang yang agak 'berada' sudah tentu mampu membeli dan memandu Mercedes Benz atau BMW yang berharga lebih RM250,000 tetapi kapasiti enjin kurang dari 2 liter. Sebaliknya golongan dengan pendapatan sederhana dan rendah hanya mampu menggunakan Naza Ria yang berharga antara RM65,000.00 hingga RM100,000.00 tetapi kapasiti enjin 2.5 liter. Sekiranya kapasiti enjin yang menjadi kriteria pemberian subsidi petrol, agak-agak korang la, sapa yang untung?

Aku tidak menentang sepenuhnya kapasiti enjin sebagai asas pemberian subsidi petrol tetapi kaedahnya mesti dibuat dengan betul dan jelas. Jika benar hasrat kerajaan hendak membantu golongan berpendapatan rendah maka pengkelasan kapasiti enjin mesti dibuat mengikut kaedah berikut, iaitu sehingga 1 liter dan lebih 1 liter. Kalau pengkelasan kapasiti enjin kenderaan seperti ini digunakan, maka barulah hasrat kerajaan untuk membantu golongan berpendapatan rendah akan tercapai. - Jothmen