Makkal Sakthi

Bukan lagi rahsia bahawa satu parti politik alternatif bagi kaum India akan dilancarkan pada 10 Oktober 2009 ini dan majlis pelancarannya pula akan dihadiri oleh PM. Sekiranya benar laporan berita bahawa PM akan menghadiri atau melancarkan parti baru tersebut maka ia merupakan satu tamparan kepada MIC yang mendominasi sokongan kaum India di negara ini.

Senario yang berlaku akhir-akhir ini yang melibatkan MIC amat menarik untuk diulas. Sejak seminggu kebelakangan ini media massa asyik menyiarkan berita Tun Dr. Mahathir termasuk kritikannya terhadap kepimpinan MIC. Aku melihat ianya sebagai perang psikologi terhadap MIC terutama sekali selepas kenyataan menggantung selipar pada gambar Negarawan tersebut serta tindakan pemimpinnya yang boleh diibaratkan seperti kacang lupakan kulit setelah kepimpinan MIC dikritik oleh Tun Dr. Mahathir. Senario ini menunjukkan bahawa Tun Dr. Mahathir masih dihargai kewujudannya serta masih mempunyai bisa dan sengat. Ia juga sebagai bukti bahawa beliau masih relevan dalam politik tanahair terutama mengambilkira pandangan dan kritikan beliau mengenai apa jua isu dalam negara.

Sepatutnya MIC tidak boleh memandang sepi senario ini terutama sekali berita mengenai Makkal Sakthi. MIC serta kepimpinannya perlu menelah apa yang tersirat disebalik semua perkara ini. Dalam perkiraan aku ramai pemimpin kaum India yang terpinggir sama ada dalam MIC atau PPP berkemungkinan akan menghampiri Makkal Sakthi.

Aku sudah dapat menelah maksud yang tersirat. Bagaimana dengan anda? - Jothmen

Balai Besar Alor Setar


Foto di kanan adalah Balai Besar, Alor Setar di mana asalnya ia berfungsi sebagai Balai Rongseri atau Balai Penghadapan. Ia merupakan sebahagian dari kompleks Istana Kota Setar. Balai ini dibina pada tahun 1735 oleh Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Muazzam Shah, Sultan Kedah ke 19 (1710-1778).

Balai Besar pernah digunakan antaranya untuk majlis perkahwinan diraja dan majlis pertabalan. Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II, Sultan Kedah ke 22 (1804-1845) dan diikuti oleh KDYMM Tuanku Haji Abdul Halim Mu'adzam Shah pada 20 Februari 1959 ditabalkan di Balai Besar ini.

Ini adalah antara bangunan lama dan mercu tanda yang kaya dengan senibina dan ukiran tradisi yang sepatutnya dieksploitasi sepenuhnya sebagai daya tarikan di Kedah. Walaupun Balai Besar disimbahi dengan lampu dan nampak menarik pada waktu malam tetapi banyak bangunan lama dan mercu tanda di sekitar Alor Setar yang masih 'bergelap' atau tidak cukup terang untuk menyerlahkan keindahannya pada waktu malam.

Wawasan Kedah maju 2010 perlu selari dengan keterampilan ibu negerinya. - Jothmen

Kedah Maju 2010


Sebagai anak watan Kedah yang mencari rezeki di perantauan, aku menulis dan menyampaikan pandangan secara jujur mengenai Kedah Maju 2010. Kedah Maju 2010 merupakan wawasan untuk menjadikan negeri Jelapang Padi ini setanding dengan negeri lain di Malaysia.

Sebenarnya aku agak kecewa melihat wajah Alor Setar kini yang tidak banyak berubah selepas lebih 20 tahun lalu. Walaupun berstatus Bandaraya tetapi Alor Setar masih dipenuhi sampah sarap, rumput dan lalang tumbuh bagai tidak terjaga malah keadaan malam masih suram - sama seperti dahulu. Hairan - ke mana perginya petugas Majlis Bandaraya Alor Setar atau adakah peruntukan tidak mencukupi untuk menyelenggara Bandaraya ini?

Alor Setar bukannya tiada mercu tanda atau bangunan lama dengan senibina yang menarik. Alor Setar ada Balai Besar, Balai Seni, Balai Nobat, Menara Jam Besar, Masjid Zahir dan Menara Alor Setar yang kesemuanya berada dalam lingkungan 500 meter. Malangnya kawasan yang sepatutnya boleh dieksploitasi sebagai daya tarikan ini tidak digunakan sepenuhnya. Kawasan sekitar Menara Alor Setar dipenuhi dengan sampah sarap, rumput dan lalang yang seolah olah tidak terjaga. Sekiranya Menara ini ingin dijadikan daya tarikan pelancong, inisiatif yang lebih perlu dibuat untuk mengindahkan persekitaran dan Menara itu sendiri.

Aku pernah berkunjung ke beberapa negeri yang mempunyai mercu tanda seperti ini termasuk bangunan-bangunan lama dan aku dapati kewujudannya dieksploitasi dengan hebat sebagai daya tarikan. Mercu tanda ini disimbahi dengan lampu yang sekaligus menjelmakan pemandangan yang memukau pandangan mata.

Terkenang aku pada tahun-tahun 1980an dulu - kalau hendak ke Alor Setar dari kampung, aku akan menggunakan perkhidmatan Syarikat Bas Gunong (kebetulan syarikat ini satu-satunya yang menyediakan perkhidmatan melalui kampung aku). Tatkala bas mula memasuki pusat bandar aku rasa tak sabar menjengah ke luar tingkap bas untuk melihat air pancut di Bulatan Telok Wanjah. Ketika itu pancuran airnya amat mempersonakan. Sekarangpun masih ada struktur air pancut itu tapi sayang air pancutnya tidak ada lagi. Keadaan sekeliling seolah-olah terabai. Sepatutnya keadaan di sini menjadi lebih baik selepas lebih 20 tahun.
Aku juga tertanya-tanya apa signifikan dibina satu 'tugu' sempena sambutan 50 tahun pemerintahan DYMM Sultan Kedah di satu kawasan lapang berdekatan Kompleks Mahkamah Alor Setar. Aku katakan 'tugu' kerana jika binaannya bertujuan untuk menjadi daya tarikan pelancong - aku rasa hasrat itu tak tercapai langsung. Binaannya cantik - ada replika keris dan tengkolok tetapi sayang ia bagaikan tugu. Kalau hendak dijadikan tarikan, inisiatif perlu dibuat supaya replika itu lebih terserlah terutama pada malam hari. Simbahilah dengan lampu dan jangan biar ia nampak suram yang sekaligus menenggelamkan keindahan senibina replika itu. 

Sejujurnya aku katakan bahawa secara fizikalnya Bandaraya Alor Setar tidak berkembang selaras dengan wawasan Kedah Maju 2010. Aku melihat Alor Setar tak lebih sebagai bandar daerah dan bukannya sebagai ibu negeri. Kemajuan sesebuah negeri dicerminkan oleh keterampilan ibu negerinya dan dalam hal Bandaraya Alor Setar, aku masih belum nampak keterampilan itu. - Jothmen