Baling Batu Sembunyi Tangan

'Baling batu sembunyi tangan' merupakan simpulan bahasa yang membawa maksud pelaku sesuatu perbuatan tidak berani mengambil tanggungjawab sepenuhnya di atas perbuatan atau keputusan yang dibuat. Ada berbagai alasan yang boleh dikaitkan dengan 'baling batu sembunyi tangan' umpamanya takut mengambil tanggungjawab kerana bimbang menjadi tidak popular, dikatakan kurang perihatin dan bermacam lagi.

Pelaku perbuatan 'baling batu sembunyi tangan' ini boleh jadi melibatkan orang yang tiada hubungan antara satu sama lain. Ianya juga berkemungkinan boleh melibatkan orang yang mengenali antara satu sama lain tetapi yang paling tinggi 'makamnya' adalah jika melibatkan pemimpin dengan orang yang dipimpinnya.

'Baling batu sembunyi tangan' amat tidak dituntut sama ada oleh hukum alam atau hukum manusia terutama sekali dalam situasi ketiga. Seseorang pemimpin tidak boleh dalam apa jua keadaan sekalipun mengamalkan 'baling batu sembunyi tangan'. Kedudukan sebagai seorang pemimpin datang bersama dengan tanggungjawab. Sekiranya tidak sanggup memikul tanggungjawab hasil dari sesuatu keputusan yang dibuat, maka amat layak kedudukan pemimpin itu dipersoalkan.

Apabila seseorang pemimpin membuat sesuatu keputusan terutama yang akan menyentuh kepentingan banyak pihak lain maka ianya turut menuntut sikap pertanggungjawaban beliau. Bagi seorang pemimpin, sikap lepas tangan atau 'baling batu sembunyi tangan' tidak sepatutnya berlaku dalam apa jua keadaan atau walau sesukar mana keadaan sekalipun.

Sesungguhnya bersikap 'baling batu sembunyi tangan' boleh mendedahkan identiti diri kita yang sebenarnya. Cuba bayangkan sekiranya orang lain mengetahui perbuatan 'baling batu sembunyi tangan' kita. - Jothmen

Bangkok Lumpuh


Aku yakin antara bahagian dunia yang menjadi tumpuan masa kini adalah Thailand. Negara gajah putih itu menarik perhatian masyarakat antarabangsa ekoran tunjuk perasaan anti kerajaan yang tidak menampakkan tanda-tanda akan berakhir dengan cepat. Sebenarnya apa yang berlaku di Thailand itu adalah pertempuran antara dua kumpulan - pro-kerajaan dan anti-kerajaan, hasil dari perasaan tidak puas hati rakyat yang amat sangat terhadap kerajaan yang memerintah.

Entry aku kali ini bukan untuk menyatakan sokongan kepada mana-mana kumpulan yang terlibat dalam tunjuk perasaan tersebut. Aku lebih berminat untuk melihat kesan buruk yang akan dialami oleh negara sekiranya kejadian yang berlaku di Thailand itu, terjadi di sini. Sebagaimana laporan akhbar - Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi 'ditawan' oleh penunjuk perasaan, anggota pentadbiran kerajaan terpaksa lari bersembunyi, kota Bangkok lumpuh bla, bla, bla...

Kadang kala aku terfikir adakah pihak berkuasa di situ telah gagal sepenuhnya untuk mengawal keadaan. Dan kadang kala juga minda nakal aku bersetuju bahawa ISA masih relevan untuk menangani keadaan-keadaan seperti ini, sekurang-kurangnya. - Jothmen

Sumber foto - Utusan Malaysia (26/11/08)

Flora


Sebagai sebuah negara beriklim khatulistiwa dengan taburan hujan tahunan yang agak banyak, Malaysia sebenarnya amat kaya dengan khazanah flora dan faunanya.

Entry aku kali ini memaparkan foto sekuntum bunga berkelopak rona kuning yang begitu kontras dengan rona hijau tangkainya. Malang sekali aku kurang arif nama saintifik dan bukan saintifik flora ini.

Namun begitu kontras warna kelopak dan tangkai flora ini amat menarik minat lensa aku. Hasilnya sekeping foto dengan kesan bokeh yang boleh dikira menarik - sekurang-kurangnya bagi photographer amatur seperti aku! - Jothmen

Ibarat Lilin



Foto di dalam post ini gelap.

Hanya sinaran lilin yang menyinari kegelapan malam.

Namun sinaran cahaya lilin itu boleh membawa erti yang besar sekali. Malah ianya turut diungkap dengan baik oleh masyarakat Melayu untuk menggambarkan pengorbanan menerusi kata pepatah Melayu yang berbunyi 'bagai lilin yang membakar diri sendiri'. - Jothmen

Obama ..ooo.. Obama


Nampaknya rakyat Amerika Syarikat sudah mengesahkan kehadiran Barack Obama ke Rumah Putih sekaligus memecah tradisi sebagai warga kulit hitam pertama yang mendapat kepercayaan memimpin negara Uncle Sam itu. Namun, pemilihan Obama ini perlu dilihat dalam aspek yang lebih luas iaitu adakah beliau mampu mencorak dasar luar yang baru bagi Amerika Syarikat. Pujian juga harus diberikan kepada warga Amerika Syarikat di atas kesediaan mereka untuk dipimpin oleh seorang Presiden berkulit hitam yang mempunyai kaitan dengan sebuah negara berpenganut Islam terbesar di Asia dan sebuah negara miskin dari benua Afrika. Adakah faktor ini bakal mempengaruhi dasar luar Amerika Syarikat? Sama-samalah kita lihat nanti.

Sungguhpun begitu aku merasakan tidak banyak perubahan besar dalam dasar luar Washington terutama bagi isu-isu berkaitan Islam khususnya pendirian mengenai Palestin, Iraq dan Iran. Satu fakta yang tidak boleh diketepikan ialah pentadbiran Washington masih lagi diterajui oleh golongan pro Yahudi. Oleh itu aku pasti dasar Washington terhadap Israeal tidak akan berubah malah diteruskan oleh pentadbiran baru ini. Dalam ertikata lain keputusan Obama nanti tentu akan mengambilkira kepentingan hubungan Washington dengan Israel.

Memang sudah menjadi tradisi akan ada harapan dunia terhadap Presiden Amerika Syarikat yang baru dipilih. Tetapi harapan tinggal harapan. Lihatlah apa harapan dunia kepada Clinton, Bush serta presiden terdahulu ketika mereka terpilih sebagai Presiden Amereka Syarikat....... Jothmen

Sumber foto: Utusan Malaysia (6/11/08)

'Flor De La Mar' di Muara Sg. Melaka


Setiap jurugambar mempunyai minat terhadap genre fotograpi yang berbeza. Aku sendiri lebih terarah kepada night photography dan hasilnya banyak koleksi foto aku tergolong di dalam genre ini.

Sebenarnya night photography mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Sesuatu objek yang kelihatan biasa pada waktu siang mampu memegunkan pandangan mata apabila disimbahi sinaran neon pada malam hari. Misalnya objek utama pada foto di dalam post ini ialah replika kapal Portugis yang dikenali sebagai Flor De La Mar dan barisan tiang lampu di persisiran Sg. Melaka. Imej kedua-dua objek ini agak biasa sahaja ketika siang hari tetapi lihat sahaja keindahannya pada waktu malam. Setelah dua hari dimasukkan ke sini, ia telah mencatatkan 34 viewers, 6 komen dan 3 orang memilihnya sebagai favourites mereka.

Namun jika diamati, terdapat sedikit kesan biasan cahaya (flare) di beberapa tempat terutama pada struktur bangunan berwarna putih di tengah-tengah foto. Kesan biasan cahaya itu boleh diatasi dengan menggunakan lense hood atau telapak tangan untuk melindungi lensa kamera dari cahaya lampu persekitaran kerana ketika foto ini diambil terdapat cahaya lampu yang agak terang di hadapan dan di sekeliling kamera. Tetapi apakan daya, teknik asas itu hilang dari ingatan lantaran keindahan yang terpapar di hadapan mata.

Foto ini diambil dengan setting berikut - exposure: 2 seconds, aperture: f/4.5 dan ISO: 200. - Jothmen

Minyak turun lagi


30 Okt 2008, sekali lagi kerajaan mengumumkan penurunan harga petrol dan diesel. Penurunan harga kali keempat selepas kenaikan mendadak pada 5 Jun lalu. Aku pasti ramai yang menarik nafas lega dengan perkembangan terbaharu itu dan mengharapkan pengumuman yang lebih baik pada masa hadapan tambahan lagi dengan trend terkini harga minyak di pasaran antarabangsa.

Tetapi berapa ramai yang menuturkan 'terima kasih'? Aku yakin majoriti rakyat tidak menuturkan ucapan tersebut.... termasuk aku sendiri!

Dalam hal ini kerajaan tidak boleh menagih 'terima kasih' dari rakyat. Penurunan harga yang diumumkan itu sebenarnya tidak banyak memperbaiki kualiti kehidupan rakyat. Cuma harga minyak yang lebih murah tetapi tidak harga lain-lain barang keperluan. Aku rasa itu salah satu faktor yang menyebabkan ramai antara kita masih belum mampu menuturkan 'terima kasih'.

Namun adakah 'terima kasih' perlu dilafazkan dengan perkataan? Dalam hal ini, mengambil kira resam masyarakat Malaysia, kita perlu mengakui bahawa mulut rakyat Malaysia amat berat untuk melafazkan penghargaan. Ucapan seperti 'maaf' dan 'tolong' adalah sama berat dengan ucapan 'terima kasih' dan amat susah untuk diucapkan oleh masyarakat kita.

Sungguhpun begitu aku yakin bahawa jauh dilubuk hati, ramai yang bersyukur dan berterima kasih....Aku salah seorang darinya.... - Jothmen