Mansuh ekuiti Bumiputera


Aku percaya ramai yang telah membaca berita ini. Petikan kata-kata yang pasti menarik minat ramai itu berbunyi 'Ekuiti perlu dibuka, berikan kelonggaran agar sesebuah syarikat itu berdaya maju dalam menghadapi situasi ekonomi dunia yang semakin meruncing'.

Kenyataan itu dibuat sehari selepas bakal PM membuat kenyataan bahawa unsur-unsur DEB boleh dihapuskan secara beransur-ansur. Dalam hal ini ekuiti Bumiputera dalam syarikat senaraian awam merupakan salah satu unsur yang dijamin oleh DEB.

Jika hanya dibaca tanpa berfikir, kita pasti gagal memahami maksud tersirat pemimpin yang membuat kenyataan supaya ekuiti dibuka. Maksud tersirat yang aku faham adalah syarikat yang dikuasai kaum Melayu tidak mempunyai daya saing untuk menghadapi kelembapan ekonomi. Itu yang aku faham. Bijak sungguh orang yang membuat kenyataan ini menggunakan bahasa.

Kegelojohan pemimpin kaum lain memberi reaksi nakal sebegini bukanlah suatu perkara baharu. Malah semakin kerap kedengaran sejak akhir-akhir ini terutama selepas Pilihanraya Umum yang lepas.

Tidak dinafikan suatu masa nanti unsur-unsur DEB akan dihapuskan oleh kerajaan yang memerintah. Namun adakah sekarang masa yang sesuai untuk mengulas kenyataan bakal PM itu? Banyak lagi perkara yang perlu diberi keutamaan umpamanya usaha-usaha mengukuhkan integrasi kaum. Walaupun Malaysia telah 50 tahun merdeka tetapi hubungan antara kaum masih belum ampuh dan amat mudah terseret kepada pertelingkahan. Nampaknya perkara ini masih belum difahami sepenuhnya oleh kebanyakan daripada kita. Aku tidak mempertikaikan kenyataan tersebut kecuali kewajaran ianya dibuat ketika ini.

Janganlah hanya mempamirkan integrasi kaum menerusi majlis keraian seperti tertera pada foto di dalam post ini tetapi pada masa sama menyuntik api untuk memusnahkannya. - Jothmen

Sumber foto - Utusan Malaysia (28/10/08)

Keringat


Foto di dalam post ini berupaya mengungkap sesuatu yang tersirat iaitu perit jerih golongan pesawah untuk menyara hidup. Memang tidak dinafikan memiliki jentera moden dapat meringankan beban kerja seharian tetapi ia bukan segala-galanya.

Dua orang petani ini sebenarnya sedang mengerah keringat untuk mengeluarkan jentera pembajak yang terbenam ke dalam lumpur ketika membajak sawah. Setelah hampir sejam bertungkus lumus, barulah jentera pembajak itu berjaya dikeluarkan dari 'perangkap'nya.

Lelaki berbaju putih itu sebenarnya adalah teman sepermainan aku suatu ketika dahulu. Namun kerana kurang berjaya dalam akademik, dia kini merupakan salah seorang generasi yang mewarisi kerja nenek moyang kami...bersawah.

Post ini bertujuan untuk mengambarkan sedikit perit jerih pesawah supaya setidak-tidaknya rakan-rakan dan ahli keluarga aku mendapat iktibar darinya. Mungkin juga boleh menjadi motivasi kepada anak-anak aku supaya lebih gigih belajar untuk kejayaan masa hadapan.

Susah payah kedua-dua petani ini mengusahakan sawah membuatkan aku termenung seketika...berfikir ...dan inilah coretan akhir bagi post ini:-

"kerana menyedari susah payah untuk menghasilkan sebutir padi membuatkan aku tidak pernah meninggalkan walau sebutir nasi di dalam pinggan apabila selesai makan. Sesungguhnya sebutir nasi yang tertinggal di dalam pinggan itulah lambang pembaziran yang gagal dihayati oleh kebanyakan dari kita". - Jothmen

Biru


Sebagai sebuah negeri yang sebahagian besar sumber ekonominya bergantung kepada industri pelancongan, promosi sektor ini giat dilakukan dari semasa ke semasa oleh kerajaan negeri Melaka. Banyak kawasan baru telah dikenal pasti untuk dibangunkan sebagai aset pelancongan yang mampu menjana pendapatan. Salah satu kawasan yang berupaya menarik minat pelancong sama ada dari dalam atau luar negara adalah di sepanjang persisiran Sungai Melaka. Kawasan yang dahulunya 'mati' dari aspek kemampuan menarik minat pelancong, kini telah berubah wajah....betul-betul berubah wajah sama sekali!! Mungkin tidak keterlaluan untuk gelaran Venice of Malaysia diberikan kepada pesisiran Sungai Melaka yang telah diperindahkan itu.

Mungkin suatu ketika dahulu agak mustahil untuk membangunkan pesisiran Sungai Melaka terutamanya sekitar Kampung Mortem tetapi kini berkat keazaman dan kesungguhan untuk berubah, semua pihak mampu tersenyum melihat hasilnya.

Aku tidak melepaskan peluang merakam perubahan tersebut. Hasilnya adalah sebagaimana foto di dalam post ini. Foto ini memaparkan 3 mercu tanda iaitu Eye of Melaka, Cathay Bridge dan Sungai Melaka yang telah diperindahkan. Sebenarnya selain dari Eye of Melaka tersebut, gondola Eye of Malaysia yang pernah beroperasi di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur kini telah siap dipasang di muara Sungai Melaka dan akan beroperasi sepenuhnya sedikit waktu lagi.

Foto ini diambil pada 20/4/2008 dan sehingga dimuatkan ke dalam blog ini, ianya telah mencatatkan jumlah kunjungan sebanyak 565 viewers (dan sentiasa bertambah dari sehari ke sehari), 14 komen dan 3 orang telah memilihnya sebagai foto favourites mereka. Sekaligus meletakkan tarafnya sebagai antara foto aku yang paling banyak dilihat dan dikomen. Kesemua ini dan banyak lagi boleh dilihat di sini. - Jothmen

Tanda kasih

Sebenarnya aku sendiripun tidak ingat tarikh foto ini diambil. Namun yang pasti ianya adalah salah satu foto semasa aku sekeluarga pulang bercuti di kampung.

Suatu hari, aku membawa anak-anak aku dan sepupu-sepupu mereka berkelah di sebuah hutan rekreasi yang terletak tidak jauh dari rumah keluarga di kampung. Sedang asyik mandi di air terjun yang dingin di situ, anak bongsu aku mengalami kecederaan pada kakinya. Akibatnya keseronokan dan keghairahan bermain di air terjun terpaksa dihentikan serta merta.

Foto ini diambil semasa kami dalam perjalanan ke tempat letak kereta dan sepanjang perjalanan yang jauhnya hampir 800 meter itu, anak sulung aku mendukung adiknya sepanjang perjalanan tersebut...tanda kasih dan sayang!

Sepanjang perjalanan tersebut juga, aku yang berada di belakang hanya memerhati generasi kedua dan ketiga keluarga aku sambil berfikir sama ada generasi-generasi seterusnya masih mampu menikmati kedamaian di rimba ini. - Jothmen